Bekalan air di Selangor pulih 84 peratus

A
A

HULU SELANGOR - Pemulihan bekalan air berdasarkan jumlah akaun berdaftar di negeri ini sehingga jam 12 tengah hari tadi mencapai tahap 84 peratus.

Gangguan bekalan berlaku sejak petang Ahad lalu ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang disebabkan pencemaran diesel di sumber air mentah.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), ahli kumpulan Air Selangor melakukan pemantauan di lapangan dan bacaan tekanan di sistem agihan di kawasan-kawasan yang terjejas.

Menurutnya, pemulihan bekalan di wilayah terjejas menunjukkan peningkatan dan pihaknya meningkatkan tekanan serta menstabilkan bekalan di sistem agihan bagi mempercepatkan proses pemulihan.

"Peratusan pemulihan berdasarkan jumlah akaun pelanggan berdaftar mengikut wilayah dengan sasaran 100 peratus pulih.

"Bagi wilayah Kuala Selangor membabitkan 64,558 akaun pengguna dijangka mencapai 95 peratus pulih manakala 99 peratus di Hulu Selangor dengan 12,175 akaun menjelang 6 petang esok.

"Sementara di Gombak akan mencapai 98 peratus pulih pada 6 petang Khamis ini melibatkan 155,850 akaun pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Raof berkata, wilayah Kuala Lumpur dan Klang/Shah Alam masing-masing mempunyai 117,837 dan 416,996 akaun pengguna dijangka pulih antara 78 hingga 83 peratus pada 6 petang, Jumaat.

Menurutnya, pada Sabtu, pemulihan bekalan dijangka pulih 85 peratus di wilayah Petaling membabitkan 414,955 akaun dan 53 peratus di Kuala Langat dengan 9,571 akaun pada jam 9 pagi.

"Bantuan bekalan melalui lori tangki air masih terus digerakkan selain pengaktifan Pusat Khidmat Setempat dan Pili Awam di kawasan terjejas.

"Pihak kami juga mohon kerjasama pelanggan yang menerima bekalan di kawasan yang telah pulih untuk menggunakan air dengan berhemat dan elakkan pembaziran bagi membantu mempercepatkan proses pemulihan bekalan di keseluruhan kawasan," katanya.

Maklumat dan status terkini boleh hubungi talian 15300 atau WhatsApp ke 019-281 6793 / 019-280 0919 untuk sebarang bantuan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia