Digilis ketika tunda kereta

Mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di bawah pacuan empat roda Mazda Fighter yang ditundanya.
Mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di bawah pacuan empat roda Mazda Fighter yang ditundanya.
A
A
A

KEMAMAN – Seorang pekerja ladang maut selepas dipercayai digilis kenderaan pacuan empat roda yang ditundanya di ladang kelapa sawit Cottage Roma Sdn Bhd di Kampung Air Putih, di sini semalam.

Mangsa, A Patmanathan, 33, ditemui rakan sekerjanya dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan parah di bahagian kepala dan badan di bawah kenderaan jenis Mazda Fighter kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Ketika kejadian mangsa dipercayai cuba menunda Mazda Fighter dipandunya yang mengalami kerosakan ketika melalui jalan berbukit.

Sebelum insiden itu, mangsa yang berasal dari Karak, Pahang dalam perjalanan menghantar barangan mentah untuk dihantar ke kongsi pekerja ladang berkenaan.

Bagaimanapun semasa tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai mengalami kerosakan menyebabkan dia terpaksa menunda kenderaannya dengan sebuah Toyota Hilux lain secara bersendirian.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian tersebut pada pukul 1.43 petang.

Katanya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh bersama kekuatan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mangsa menunda Mazda Fighter bersendirian dengan menggunakan Toyota Hilux.
Mangsa menunda Mazda Fighter bersendirian dengan menggunakan Toyota Hilux.

"Mangsa dikatakan menunda dengan menggunakan kabel kenderaan tersebut dengan menaiki sebuah lagi pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

"Tapi setibanya di satu kawasan cerun, mangsa dikatakan turun dari kenderaannya untuk menanggalkan kabel tunda terbabit namun ketika kerja-kerja membuka kabel, kenderaan terbabit bergerak dengan sendirinya," katanya.

Menurutnya, ekoran itu mangsa dikatakan cuba menahan kenderaan yang ditundanya daripada bergerak namun gagal menyebabkannya terjatuh sebelum digilis oleh kenderaan itu.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan dan pihak bomba mengambil masa selama 15 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa di bawah kenderaan itu," katanya.

Sepasukan anggota perubatan dari Klinik Kesihatan Air Putih yang tiba ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mayatnya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mayat mangsa tiba di Unit Forensik Hospital Kemaman kira-kira jam 8 malam tadi untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Mohd Haki Hasbullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987.