Harimau sesat: Tiada jejak baharu ditemui

Awang Besol berjaya ditangkap kira-kira jam 3.30 petang pada Jumaat lalu di kawasan belukar Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Dungun.
Awang Besol berjaya ditangkap kira-kira jam 3.30 petang pada Jumaat lalu di kawasan belukar Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Dungun.
A
A
A

DUNGUN - [DIKEMASKINI] Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu tidak menemui sebarang kesan baharu seekor lagi harimau belang di hutan berhampiran Kampung Besol Lama, Bukit Besi di sini dalam operasi menjejaki haiwan itu yang masuk hari keenam hari ini.

Pengarahnya, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, buat masa ini tiada kesan baharu tapak kaki haiwan itu dijumpai daripada pemantauan dan rondaan yang dilakukan pihaknya.

Menurutnya, kerja-kerja pemantauan dan rondaan itu dilanjutkan sehingga tempoh dua minggu bermula Sabtu lalu tetapi ia bergantung kepada keadaan semasa.

"Pemantauan dan rondaan dijalankan sepasukan empat anggota Perhilitan Terengganu. Kita juga tambah perangkap kepada tiga buah berbanding dua perangkap sebelum ini," katanya.

Khamis lalu, pengguna media sosial di negara ini gempar apabila rakaman video dan gambar harimau belang yang kelihatan agak jinak berkeliaran di Kampung Besol Lama tular.

Berikutan itu operasi menangkap haiwan berkenaan segera dijalankan sebelum seekor harimau belang yang diberi gelaran 'Awang Besol' berjaya ditangkap kira-kira jam 3.30 petang pada Jumaat lalu.

Abdul Malek berkata, operasi mengesan haiwan terbabit dijalankan berpusat di Surau Kampung Besol Lama.

Ditanya sama ada operasi itu akan diteruskan selepas tempoh dua minggu, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dan diatur semula selepas tempoh dua minggu itu berakhir.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pak belang berkeliaran di Bukit Besi

Akhirnya seekor pak belang ditangkap

Awang Besl alami kecelaruan minda