Tiga kematian kes denggi di Kelantan

Pegawai kesihatan yang turut memberi nasihat dan maklumat kepada penduduk mengenai pentingnya menjaga kawasan sekitar agar bebas dari wabak denggi.
Pegawai kesihatan yang turut memberi nasihat dan maklumat kepada penduduk mengenai pentingnya menjaga kawasan sekitar agar bebas dari wabak denggi.
A
A
A

TANAH MERAH - Tiga kematian dicatatkan pada tahun ini melibatkan wabak denggi berbanding satu kes pada tahun sebelumnya sepanjang Januari hingga Julai.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, ini menunjukkan peningkatan kes yang serius melibatkan wabak berkenaan sepanjang tempoh tujuh bulan itu.

Beliau berkata, sehingga minggu ini kes denggi di Kelantan menunjukkan peningkatan sebanyak 2,266 kes berbanding 546 kes tahun lalu dalam tempoh yang sama.

"Begitu juga dari segi jumlah wabak apabila 172 wabak dicatatkan tahun ini berbanding tahun sebelumnya dengan 36 wabak di samping 59 kawasan wabak denggi yang aktif di negeri ini turut dikenal pasti.

"Kita telah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan denggi di seluruh Kelantan dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 245,999 premis termasuk kediaman dan kawasan perniagaan.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan didapati 7,801 premis yang mempunyai jentik-jentik jenis aedes," katanya.

Jentik-jentik yang ditemui ketika pemeriksaan dilakukan di sebuah premis di Tanah Merah.
Jentik-jentik yang ditemui ketika pemeriksaan dilakukan di sebuah premis di Tanah Merah.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan akhbar selepas Ops Denggi yang dijalankan di Tanah Merah di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Zaini berkata, pihaknya telah mengeluarkan 1,377 kompaun yang dicadang dengan nilai RM688,500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

"Kita keluarkan 625 Notis Seksyen 8 bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi pembiakan aedes.

"Sebanyak 424,548 premis telah dikunjungi dan pihak kami telah melakukan semburan untuk membunuh nyamuk," katanya.

Pihaknya juga juga telah melakukan penghapusan 'larvaciding' di 215,545 premis iaitu bagi memusnahkan jentik-jentik aedes.

"Kita sarankan supaya masyarakat mengamalkan langkah pencegahan dengan meluangkan masa selama 10 minit untuk mencari dan memusnahkan bekas pembiakan nyamuk aedes dalam dan luar kawasan rumah.

"Di samping itu gunakan ubat jentik-jentik (abate) dalam bekas takungan air kekal jika tidak melebihi seminggu.

Zaini juga turut menyarankan masyarakat, supaya menggunakan penyembur nyamuk aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa dalam rumah dan turut memasang jaring halus di tingkap dan pintu rumah.

"Kita harapkan masyarakat sentiasa mengambil berat terhadap kebersihan kawasan sekeliling dan jadikan ia sebagai tanggungjawab bersama bagi mengelakkan penyebaran wabak denggi.