Rosmah patuhi notis berkaitan isytihar harta, tarik balik rayuan

Rosmah Mansor - Foto Bernama
Rosmah Mansor - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menarik balik rayuan beliau berhubung notis untuk mewajibkannya mengisytihar pemerolehan harta antara 1 Januari 2009 dan 31 Disember 2017, berkaitan kes pengubahan wang haram.

Peguam beliau, Datuk K.Kumaraendran memohon supaya rayuan itu diketepikan kerana pihak pembelaan telahpun memfailkan notis pemberhentian rayuan pada 12 Julai tahun ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Dusuki Mokhtar tidak membantah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Zabariah Mohd Yusof kemudiannya mengetepikan rayuan itu.

Kumarendran memberitahu pemberita rayuan itu bersifat akademik kerana Rosmah telahpun mematuhi notis itu pada 8 Julai tahun ini.

Kumaraendran berkata, pihak pembelaan akan turut menarik balik permohonan kebenaran untuk menangguhkan notis pematuhan itu di Mahkamah Tinggi pada Jumaat.

Notis itu dikeluarkan pada 1 November tahun lepas terhadap Rosmah, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau kemudian memfailkan permohonan untuk mengetepikan notis itu yang dikeluarkan oleh pendakwa raya, tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 24 Mei tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Notis itu mewajibkan beliau untuk mengisytihar semua aset dari 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2017 mengikut Seksyen 49 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Kegagalan untuk mematuhi notis itu merupakan kesalahan yang boleh dihukum denda maksimum RM3 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Rosmah, 67, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan jumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang di sini antara 4 Dis 2013, dan 8 Jun 2017, dan LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 1 Mei 2014, dan 1 Mei 2018.- Bernama