Kendera saji mampu milik untuk usahawan

Saiful Azmi (enam dari kiri) dan Mohammad Syukri melihat pertukaran dokumen antara Kohijrah dan Kitab pada majlis menandatangani MoU di KGRP Kerteh.
A
A

KEMAMAN - Usahawan Terengganu bakal menikmati kemudahan untuk pembelian barangan keperluan perniagaan termasuk kendera saji atau 'food truck' pada harga mampu milik hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) dengan Koperasi Istiqamah Terengganu Berhad (Kitab).

Penaung Kitab, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, menerusi kerjasama itu Kitab akan menerima bekalan barang keperluan usahawan daripada Kohijrah sebelum ia disalurkan kepada usahawan.

"Semua barang keperluan perniagaan yang dibekalkan Kohijrah akan Kitab bekalkan kepada seluruh usahawan di Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).

"Barang yang akan kita mulakan ialah 'food truck' atau 'mobile truck' dengan harga murah atau mampu milik," katanya pada Majlis Menandatangani MoU antara Kohijrah dan Kitab di Kelab Golf dan Rekreasi Petronas (KGRP) Kerteh di sini.

Saiful Azmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik berkata, lebih menarik apabila usahawan boleh membeli kenderaan itu melalui pembiayaan YPU.

"Kita dah adakan perbincangan awal dengan YPU dan Exco Keusahawanan negeri untuk Kitab bekalkan food truck kepada usahawan melalui pembiayaan YPU.

"Harganya murah dan mampu milik merujuk kepada kelulusan atau had yang ditetapkan YPU untuk 'food truck' iaitu sebanyak RM75,000.

"Maknanya usahawan tak perlu tambah duit atau perlu buat kerja tambahan untuk beli 'food truck'. Jadi, 'food truck' diperoleh sebaik dapat kelulusan pembiayaan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Koperasi Kohijrah, Mohammad Syukri Ismail berkata, produk lain yang akan dibekalkan kepada Kitab selepas ini antaranya untuk usahawan pertanian seperti kenderaan ATV dan mesin pencantas kelapa sawit.

Menurutnya, Kohijrah juga akan bekerjasama dengan Kitab dalam proses menjadi pembeli getah di kawasan negeri ini supaya harga getah dapat diselaraskan mengikut kadar Lembaga Getah Malaysia.

"Hasil MoU yang dimeterai ini, Kohijrah dapat membantu usahawan di Terengganu memiliki produk perniagaan dengan harga mampu milik sebagaimana dinikmati usahawan di Selangor.

"Kebanyakan usahawan di Terengganu amat memerlukan produk ini kerana ia dapat bantu kembangkan lagi perniagaan mereka sekali gus dapat melonjakkan pendapatan mereka lebih tinggi lagi," katanya.

Kohijrah ditubuhkan tiga tahun lalu turut membekalkan produk sama ke Perak dan Terengganu menjadi negeri ketiga yang menerima bekalan tersebut.

Koperasi itu sekarang memiliki seramai 11,250 anggota terdiri daripada usahawan dan kakitangan Program Yayasan Hijrah Selangor.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia