Zidane nafi tidak hormat Bale

Konflik antara Zidane dan Bale makin meruncing. FOTO: CNN
Konflik antara Zidane dan Bale makin meruncing. FOTO: CNN
A
A
A

PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane menafikan bahawa dia tidak menghormati Gareth Bale selepas mengeluarkan kenyataan mahu pemain sayap itu dijual segera.

Kata legenda Perancis itu, ia hanya salah faham dan dia tidak berniat untuk memperkecilkan Bale sebaliknya mahu menyatakan bahawa kelab sedang berusaha menguruskan perpindahan pemain itu.

"Kadang-kadang bahasa Sepanyol yang saya gunakan ini menyebabkan salah faham. Saya bukannya tidak menghormati sesiapa pun terutama pemain saya.

"Prinsip saya mudah. Banyak kali saya tegaskan bahawa pemain adalah yang paling penting dan saya akan selalu menyokong pemain saya.

"Apa yang jelas saya katakan adalah kelab sedang cuba menjual Bale. Itu sahaja," katanya.

Masa depan Bale terus menjadi spekulasi selepas bintang Wales itu hanya berada di tempat duduk penonton ketika Real tewas kepada Bayern Munich 1-3 dalam perlawanan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Singapura.

Selepas perlawanan tersebut Zidane dalam sidang media mahu Bale segera dijual sekali gus mengundang rasa kurang senang ejen pemain itu, Jonathan Barnett.

Barnett menyifatkan Zidane tidak menghormati jasa dan memalukan Bale yang telah banyak membantu Real menjulang banyak trofi kejohanan besar.

Artikel Berkaitan:

Bale menyertai Real pada musim panas 2013 dan berhasil membantu Los Blancos menjulang 13 trofi termasuk empat kejuaraan Liga Juara-Juara. Selain itu, Statistik Bale juga cukup cemerlang dengan 102 gol dan 65 bantuan gol dalam 231 perlawanan.

Statistik Bale itu jauh lebih baik daripada Zidane ketika bersama Real yang hanya menjaringkan 49 gol dan 66 bantuan gol dalam 227 perlawanan.