10 projek di Bagan Datuk dibatalkan

Ahmad Faizal menjelaskan sebanyak 11 projek pembangunan di Bagan Datuk di bawah RMK11 diteruskan manakala tujuh lagi projek dilaksanakan di bawah peruntukan khas.
Ahmad Faizal menjelaskan sebanyak 11 projek pembangunan di Bagan Datuk di bawah RMK11 diteruskan manakala tujuh lagi projek dilaksanakan di bawah peruntukan khas.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 10 projek pembangunan di daerah Bagan Datuk bernilai RM1.04 bilion yang dirancangkan sebelum ini di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dibatalkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara projek-projek yang dibatalkan itu termasuklah menaik taraf Laluan 69 dari Parit 19, Hutan Melintang ke Pekan Bagan Datuk bernilai RM529 juta, persimpangan bertingkat dari FT005 ke FT009, Hutan Melintang bernilai RM144.4 juta dan Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk bernilai RM138 juta.

Katanya, berdasarkan kepada surat Kementerian Kewangan bertarikh 29 Jun 2018 lalu, projek-projek dibatalkan pelaksanaannya adalah projek yang belum dikeluarkan Surat Setuju Terima.

"Kesemua projek pembangunan yang telah dirancang untuk dilaksanakan di daerah Bagan Datuk terpaksa dikaji semula berdasarkan keperluan dan implikasi kewangan kepada kerajaan.

"Selain daripada itu, kajian analisis kos faedah juga telah dilaksanakan untuk setiap projek yang telah dirancang sebelum ini," katanya ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, bagaimanapun sebanyak 18 lagi projek di daerah Bagan Datuk diteruskan melibatkan 11 projek di bawah RMK11 bernilai RM1.05 bilion dan tujuh lagi projek di bawah peruntukan khas bernilai RM21.5 juta.

Katanya, antara projek utama yang diluluskan dalam RMK11 adalah projek pembinaan Politeknik Bagan Datuk bernilai RM220 juta, projek pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk bernilai RM130 juta dan projek pembinaan Kompleks Sukan Bagan Datuk (RM 39.4 juta).

Sementara itu, beliau berkata, terdapat sebanyak 25 lagi projek pembangunan di daerah itu bernilai RM12.03 juta ditangguhkan.

Artikel Berkaitan: