Dua lelaki ditahan miliki syabu, heroin

Dadah dipercayai jenis heroin yang ditemui ketika pemeriksaan dalam bilik yang dihuni kedua-dua suspek tersebut.
Dadah dipercayai jenis heroin yang ditemui ketika pemeriksaan dalam bilik yang dihuni kedua-dua suspek tersebut.
A
A
A

LIPIS - Seorang penganggur dan pembantu kedai ditahan sempena Ops Tapis awal pagi tadi selepas memiliki dadah dipercayai jenis syabu dan heroin dengan nilai keseluruhan RM4,050.

Dalam serbuan yang dibuat kira-kira jam 1.30 pagi itu, suspek lelaki berusia 25 dan 23 tahun itu ditahan dalam sebuah bilik di rumah rehat di sini.

Ketua Polis daerah, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dadah terbabit ditemui ketika pemeriksaan di dalam bilik tersebut.

Menurutnya, sebuah beg galas biru ditemui atas meja kecil di dalam bilik tersebut mengandungi sembilan peket plastik berisi serbuk ketulan putih yang dipercayai dadah jenis syabu seberat 19.80 gram bernilai RM2,400.

"Selain itu turut ditemui dua peket plastik berisi serbuk ketulan putih yang disyaki dadah jenis heroin seberat 55.42 gram bernilai RM1,650.

"Turut dirampas wang tunai RM550, kunci bilik, alat penimbang dan plastik peket pelbagai saiz," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya hasil pemeriksaan mendapati penganggur yang berusia 25 tahun itu memiliki tiga rekod lampau berkaitan dadah dan pembantu kedai tidak memiliki sebarang rekod lampau.

"Hasil siasatan awal, penganggur itu mengaku dadah yang dijumpai dan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A2 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama," ujarnya lagi.