Anak maut, kereta dipandu ibu langgar lampu merah

Bas yang dipercayai merempuh kereta dinaiki mangsa dalam kejadian itu.
Bas yang dipercayai merempuh kereta dinaiki mangsa dalam kejadian itu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala ibu kandung dan dua lagi adik perempuannya cedera selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah bas di lampu isyarat simpang empat KM20 Jalan Johor Bahru-Gelang Patah, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 petang itu, mangsa yang berusia 11 tahun parah di bahagian kepala manakala dua beradiknya yang berusia 9 dan 7 tahun hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua mangsa ketika itu berada dalam satu kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu ibu mereka yang berusia 43 tahun.

“Kereta dinaiki mangsa ketika itu datang dari arah Gelang Patah mahu menghala ke Mutiara Rini. Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai melanggar lampu isyarat merah untuk membelok ke kanan.

“Dalam masa sama, terdapat sebuah bas yang bergerak lurus menghala Gelang Patah tidak sempat membrek serta merempuh kereta dinaiki mangsa di bahagian kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, akibat kemalangan itu, kereta mangsa telah mengalami kerosakan di bahagian pintu hadapan dan kiri belakang manakala bas mengalami kerosakan di bahagian hadapan kiri.

Beliau berkata, ketiga beradik itu kemudiannya telah dihantar ke sebuah hospital swasta berhampiran untuk mendapatkan rawatan sebelum kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun itu dilaporkan meninggal dunia kerana kecederaan parah di bahagian kepala.

“Dalam kejadian ini, mangsa yang lain hanya mengalami cedera ringan manakala pemandu bas iaitu seorang lelaki berumur 43 tahun tidak cedera,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.