Guru ‘naik minyak’ serang anggota polis

Gambar hiasan. Gambar kecil:Abdullah Mohammad Piah
Gambar hiasan. Gambar kecil:Abdullah Mohammad Piah
A
A
A

PASIR MAS - Seorang guru ‘naik minyak’ dengan membuat kecoh di pejabat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas kerana mendakwa anaknya telah dimarahi anggota pasukan berkenaan semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, wanita berusia 41 tahun itu bertindak luar kawalan dengan menarik tudung seorang anggota wanita berpangkat koperal yang sedang bertugas.

Bukan itu sahaja, wanita tersebut dikatakan turut menendang anggota berkenaan yang baharu sahaja lima bulan melahirkan anak.

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, wanita itu bertindak demikian selepas berang mengetahui anaknya dimarahi anggota trafik selepas terlibat dalam satu kemalangan.

“Bagaimanapun itu hanyalah dakwaan yang dibuat wanita berkenaan kerana tiada saksi mendengar anaknya telah dimarahi,” katanya.

Menurutnya, anggota wanita itu kemudian telah dirujuk ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk pemeriksaan lanjut, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Abdullah berkata, suspek kemudian ditahan dan dibebaskan atas jaminan polis selepas segala keterangan direkodkan.

Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 90 Akta Polis dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Abdullah turut meningatkan orang ramai supaya tidak bertindak diluar kawalan ketika berurusan di pejabat-pejabat awam.

Katanya, tindakan luar kawalan itu boleh menyebabkan mereka berdepan hukuman jika disabitkan kesalahan.