Senario buli dalam kehidupan pelajar

A
A
A

MENUNTUT ilmu merupakan satu anugerah yang tidak ternilai dan bukan semua individu di dunia mahupun Malaysia mendapat peluang menimba ilmu. Apatah lagi untuk melanjutkan impian dan cita-cita bagi mencapai matlamat.

Saban hari masih kedengaran isu buli dan dera di seluruh negara seolah-olah menjadi santapan halwa telinga dan mata untuk menyimpan data kejadian buli setiap hari.

Istilah ‘buli’ yang menjadi sebutan dari hari ke hari seolah-olah tidak dapat dibendung daripada terus memenuhi wajah akhbar dan bukanlah statistik yang membanggakan.

Malah buli menjadi penyakit setaraf dengan barah yang boleh membunuh pembentukan masyarakat sihat dan sejahtera jika pendekatan drastik dan pantas tidak diambil bagi membanteras gejala itu daripada terus membelenggu masyarakat Malaysia.

Rumah, tadika, taska, tabika, pusat asuhan, sekolah, universiti, pusat latihan, institut latihan dan semua institusi yang mendidik serta melahirkan para pelajar mahupun graduan ialah tempat para ibu bapa meletakkan harapan bahawa anak-anak mereka berada dalam persekitaran selamat sepanjang tempoh mereka mendapatkan ilmu.

Kepercayaan yang tinggi diletakkan terhadap institusi pendidikan dan semua individu yang bertanggungjawab menjayakan gedung ilmu itu memikul amanah yang amat besar dan berat.

Namun, masih berlaku perkara-perkara yang tidak diingini di gedung ilmu itu apabila sikap dan personaliti yang sukar diduga dalam kalangan individu yang berada di lokasi sama atau berlainan bakal bertindak di luar kawalan hingga menyebabkan buli dan dera berlaku.

Rakyat Malaysia kembali dikejutkan dengan berita yang mengaitkan individu-individu seperti T Nhaveen, Zulfarhan Osman Zulkarnain, kes enam pelajar tingkatan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, kes dua anggota pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sungai Wangi dan banyak lagi. Kes-kes itu bukanlah antara kes baharu dalam sejarah gejala sosial yang membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

Namun, ledakan teknologi maklumat dan komunikasi menyebabkan banyak perkara sukar dibendung atau boleh disorok daripada tatapan umum.Ratifikasi

Malaysia meratifikasi Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) pada 1995. Justeru, Parlimen Malaysia telah memperkenalkan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Artikel 28 dan 29 CRC memperuntukkan hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan dan di bawah Artikel 19 CRC, kerajaan Malaysia memberikan komitmen memastikan kanak-kanak dilindungi daripada sebarang keganasan, kecederaan atau penderaan, pengabaian atau kecuaian secara fizikal atau mental, penganiayaan atau eksploitasi termasuk penderaan seksual.

Tiada sebarang penafian tentang mendapatkan hak pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia dan berita itu menggembirakan seta membanggakan di mana Malaysia merupakan sebuah negara yang meletakkan ilmu pada darjat tinggi dan memberi peluang serta kesamarataan dalam memperoleh ilmu tanpa mengira status.

Keadaan semakin membimbangkan dan merencam kehidupan terutama ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang perlu melalui fasa kehidupan semakin mencabar bukan kerana persaingan dalam pembelajaran, silibus tinggi, perubahan dasar pendidikan yang tidak menentu tetapi dek kerana ‘pelaku/pembuli/pendera bertopeng’ berhampiran dengan anak-anak kita sama ada secara fizikal mahupun virtual.

Inilah realiti kehidupan yang perlu dilalui rakyat Malaysia di mana realiti yang mengecewakan akibat daripada sikap manusia. Malaysia tidak menyasarkan sebagai negara peneraju dalam indeks melahirkan masyarakat yang berpenyakit sebegini atau negara yang sakit sehingga berleluasa aktiviti buli dan dera.

Ibu bapa dan institusi kekeluargaan tidak harus dipersalahkan sepenuhnya sebagai penyumbang utama kepada kejadian ini.

Pendidikan asas, kesedaran dan tanggungjawab wajib diberikan kepada semua tanpa mengira kedudukan mereka.

Suasana yang selamat dan bebas daripada sebarang bentuk penganiayaan perlu disediakan dan dijamin oleh kerajaan bahawa institusi pendidikan adalah tempat yang selamat dan bukan digeruni oleh para pelajar.

Pihak mangsa yang terlibat tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah seterusnya bagi mendapatkan keadilan dan membuka mata semua pihak. Entah apa pula akan berlaku pada esok hari di lokasi, mangsa dan pelaku yang berbeza.

Jika inilah yang sentiasa menghantui masyarakat, maka Malaysia tidak layak mendabik dada sebagai negara maju yang mempunyai masyarakat berkualiti dan sejahtera.