Cinta palsu di alam siber

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RAMAI yang sudah terperangkap dengan cinta palsu di alam siber atau dikenali dengan istilah love scam. Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia pada 2015 melaporkan bahawa skandal temu janji romantik dalam talian memberi kesan kerugian kewangan kepada mangsa.

Di United Kingdom (UK), sebanyak 5,600 kes dilaporkan pada tahun 2011.

Sementara itu, Agensi Jenayah Terancang Serius, UK mencatatkan jumlah kerugian yang direkodkan pada tahun 2011 adalah melebihi 50 juta pound sterling. Dari tahun 2013 hingga 2014, Biro Perisikan Penipuan Kebangsaan Amerika Syarikat melaporkan kes yang melibatkan penipuan ‘percintaan’ meningkat sebanyak 33 peratus dengan kerugian berjumlah 34 juta pound sterling.

Malaysia juga tidak terkecuali menjadi pangkalan sindiket jenayah cinta siber antarabangsa. Sindiket yang didalangi warga Afrika mendatangkan kerugian jutaan ringgit hasil daripada kegiatan jenayah cinta siber.

Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman melaporkan dari tahun 2015 sehingga 31 Julai 2018 terdapat 1,116 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM64,295,120.14.

Biarpun sering terpampang kes-kes penipuan cinta palsu itu di dada akhbar, namun masih ramai lagi mudah terpedaya dengan pujuk rayu ‘kekasih ghaib’ itu sehingga mereka sanggup melakukan transaksi wang mencecah ratusan ribu ringgit atas dasar cinta. Hanya dengan sedikit penyamaran bersifat material seperti berkereta mewah dan memiliki aset yang banyak, penggoda di alam siber ini memancing mangsa wanita secara rambang.

Perkenalan melalui laman sosial, berkomunikasi di alam siber tanpa langsung berjumpa sudah cukup untuk sindiket love scam ini menipu mangsa yang kebanyakannya wanita berusia yang single.Ayat-ayat cinta yang manis disogok setiap hari oleh penyamar sindiket berkenaan kepada mangsa sehingga mereka termakan pujuk rayu untuk memasukkan wang ke dalam akaun tertentu atas alasan deposit untuk menerima hadiah percintaan.

Selepas habis semua wang mangsa dikikis, sang kekasih menghilangkan diri dan memutuskan hubungan secara mengejut.

Artikel Berkaitan:

Ketika itulah mangsa baru tersedar sudah ditipu dan membuat laporan polis.

Namun, waktu itu sudah terlambat kerana nasi sudah menjadi bubur.