'Alaaa... comelnya awak sayang'

Tangkap layar video berdurasi seminit dikongsikan yang Ahmad Safiuddin menunjukkan Ainul menggelengkan kepala mencuit hati netizen.
Tangkap layar video berdurasi seminit dikongsikan yang Ahmad Safiuddin menunjukkan Ainul menggelengkan kepala mencuit hati netizen.
A
A
A

PERKEMBANGAN bayi istimewa Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 11 bulan terus mencuri tumpuan dan dekat di hati rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan bayi itu di laman sosial ibu bapa anak kecil ini.

Terbaharu, keletah Ainul mengajuk perbuatan bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak menggelengkan kepala mencuit hati netizen.

Video berdurasi seminit itu dikongsi menerusi laman Instagram Ahmad Safiuddin dengan kapsyen "kalau nak main dengan walid. Kalau nak tidur dengan mama".

Baru lima jam dimuat naik, video itu sudah ditonton lebih 60,000 kali. Malah tidak kurang yang meninggalkan komen-komen positif dan terhibur dengan keletah bayi comel itu.

Rata-rata pengikut akaun Instagram Ahmad Safiuddin menyifatkan Ainul semakin bijak dan bersyukur dengan perkembangan itu.

“Ala pandainya Ainul, dia cepat faham... comel je. Semoga Ainul semakin sihat dan bijak. Amin..,” tulis akmar_abdrazak.

ARTIKEL BERKAITAN: Ainul Mardhiah sudah pandai pusingkan badannya

“Tersengih sorang-sorang tengok video ni, tengok Ainul... bijaknya dia...,” komen maryk_fathiyah.

"Alaaa... comelnya awak sayang," tulis syafiqah_shhrzn pula pada ruangan komen.

Dalam entri sama, Ahmad Safiuddin turut membalas beberapa komen pengguna Instagram bertanyakan mengenai alat bantuan pernafasan (trachy) yang digunakan Ainul.

Ahmad Safiudin berkata, alat itu hanya akan dibuka apabila Ainul boleh bernafas menggunakan hidung nanti dan ketika itu juga dia dan isteri mungkin akan dapat mendengar suara Ainul untuk pertama kalinya.

“Memang sejak lahir kami tak dengar suara Ainul sebab Ainul guna trachy. Nanti bila dia boleh off trachy tu, InsyaALLAH dengarlah suaranya,” balas Ahmad Safiuddin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ibu Ainul, Nurul Erwani Zaidi menerusi Instagramnya berkongsi si kecil itu kini sudah pandai memusingkan badannya dan semakin sihat.

"Alhamdulillah syukur, Ainul sihat setiap hari. Dah pandai pusingkan badan. Setiap hari kami akan membawa Ainul keluar untuk mengambil angin di luar. Dr sangat galakkan untuk Ainul keluar supaya dapat tengok pemandangan luar," kongsinya.

Ainul Mardhiah yang menghidap ‘Germ Cell Tumor’ selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan seberat 200g di mulutnya di sebuah hospital di London bulan lalu.

Pembedahan dilakukan sekumpulan pakar bedah dan anestetik diketuai oleh Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Doktor berasal dari Malaysia, Dr Amalina Che Bakri dan Dr Julian Ong turut terlibat dalam pembedahan berisiko tinggi itu.