Pegawai bank tolak dakwaan berkomplot dengan Jho Low

A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai bank yang mengurus akaun bank Datuk Seri Najib Tun Razak di Ambank menolak dakwaan bahawa beliau berkonspirasi dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, sehingga mengheret bekas Perdana Menteri itu ke mahkamah.

Joanna Yu Ging Ping, 48, bekas pengurus perhubungan Ambank Berhad berkata demikian semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram pada hari ke-41 perbicaraan Najib berhubung dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Semasa pemeriksaan utama, Sithambaram memaklumkan kepada Yu mengenai terdapat dakwaan bahawa beliau adalah pegawai bank yang berkonspirasi dengan Jho Low sehingga mengakibatkan Najib dituduh.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga akaun Najib catat transaksi sangat tinggi: Pegawai bank

Sithambaram: Apa yang anda mahu katakan mengenainya ?

Yu: Saya tidak berkonspirasi. Apabila akaun terlebih pengeluaran, kami memaklumkan mereka (Nik Faisal Ariff Kamil, Ketua Pegawai Eksekutif SRC dan Jho Low) kerana jika tidak, cek yang dikeluarkan dari akaun Datuk Seri (Najib) tidak laku.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-54 itu memberi keterangan bahawa Najib telah memberikan mandat kepada Nik Faisal untuk bertindak bagi pihaknya dalam mengendalikan akaun banknya.

Sithambaram: Mulai Januari 2011, apabila Najib membuka akaun semasa pertamanya pada 18 Januari 2011, hingga akaun ditutup pada 30 Ogos 2013, adakah terdapat sebarang aduan oleh pemegang akaun, Datuk Seri Najib atau Nik Faisal mengenai akaun tidak diurus mengikut mandat?

Yu: Tidak ada aduan.

Sithambaram: Begitu juga mulai 31 Julai 2013, apabila akaun semasa lain dibuka sehingga ditutup pada 9 Mac 2015, ada sebarang aduan oleh pemegang akaun Datuk Seri Najib atau Nik Faisal bahawa akaun itu tidak diurus mengikut mandat?

Yu: Tiada

Sithambaram: Adakah Datuk Seri Najib atau Nik Faisal menuduh anda dan pasukan anda bertindak melebihi kuasa?

Yu: Tidak

Sithambaram: Adakah pemegang akaun (Najib) menuduh anda berkomplot dengan Jho Low untuk menjalankan transaksi tanpa izin atau penipuan semasa anda menjadi pengurus perhubungan akaunnya?

Yu: Tidak

Saksi itu juga memberi keterangan bahawa penyata akaun semasa dan kad kredit Najib disimpan oleh pasukan pengurus perhubungan dan kemudiannya diserahkan kepada Nik Faisal di pejabat SRC di Bangsar.

Bagaimanapun, beliau berkata bank telah tersalah hantar penyata kad kredit bertarikh 8 Sept, 2014 ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Yu juga diminta membaca mesej antara beliau dan Jho Low bertarikh 14 Okt 2014 melalui Blackberry (BBM) - "Ini adalah perbualan antara Jho dan saya". Jho: Tolong jangan hantar penyata bank kepada MNR (Mohd Najib Razak), penyata kini disimpan dengan anda kan? Saya: Jadi sekarang kami telah diarahkan supaya penyata dihantar kepada kami dan bagi kami untuk diserahkan kepada Nik Faisal untuk pelanggan (Najib).

Beliau berkata, perbualan itu berlaku selepas beliau menerima panggilan daripada Nik Faisal dan Jho Low bahawa penyata kad kredit Najib sebenarnya dihantar kepada pelanggan dan tidak dihantar kepada Pengurus Perhubungan sebagaimana mandat.

"Setelah menerima penyata, mereka menghubungi kami dan bertanya mengapa penyata pemegang akaun dihantar ke Pejabat Perdana Menteri; Saya tidak ingat alamat yang tepat tetapi ia adalah Pejabat Perdana Menteri," katanya.

Apabila diminta membaca alamat penyata kad kredit bertarikh 8 Sept 2014, saksi itu membaca, "Datuk Seri Mohd Najib bin Haji Abdul Razak, Kerajaan Malaysia, perhatian Encik Nik Faisal Ariff Kamil, Pejabat Perdana Menteri Malaysia, Blok Utama Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62502, Putrajaya.

Yu bersetuju dengan cadangan Sithambaram bahawa penyata itu tersalah hantar ke Pejabat Perdana Menteri.

DPP: Tujuannya untuk menyembunyikan penyata ini daripada Datuk Seri Najib?

Saksi: Saya tidak fikir itu tujuannya.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, Yu berkata Pengurus Perhubungan menyimpan penyata bank Najib di pejabat sebelum menghantarnya kepada Nik Faisal.

Beliau berkata, beliau teringat satu kejadian di mana Jho Low telah menegur Pengurus Perhubungan kerana mereka tidak mengikut arahan mengenai penyata bank.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia