Malaysia mahu kekal sebagai ahli majlis ICAO

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis ‘High Tea’ bersama wakil-wakil Duta di Malaysia sempena pencalonan Malaysia bagi pilihan raya Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bahagian III untuk jangka masa 2019-2022. - FOTO BERNAMA
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan mengemukakan hasrat untuk mengekalkan kedudukannya sebagai ahli majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah Kategori III bagi penggal 2019-2022, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Menurut beliau, usaha itu akan dilakukan pada mesyuarat agung ICAO ke-40 yang dijadualkan pada 28 September-4 Oktober, 2019 di Montreal, Kanada.

"Sehubungan itu, saya meminta kalangan negara anggota ICAO untuk terus menyokong dan mengundi Malaysia dalam usaha mempertahankan kerusi majlis ICAO itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis resepsi minum petang bersama wakil dan duta asing di sini hari ini.

Menurut Anthony, Malaysia juga telah terbukti memainkan peranan aktif dalam pertubuhan penting itu sejak dipilih menganggotai majlis ICAO pada 2007.

"Malah, menerusi sokongan berharga negara-negara anggota itu membolehkan Malaysia dilantik semula pada 2010 dan seterusnya pada 2013 dan 2016. Oleh itu, kami berharap untuk terus menerima sokongan padu anda semua pada tahun ini," katanya.

Mengulas selanjutnya, Anthony berkata, Malaysia juga menyokong ICAO dalam banyak bidang khususnya keselamatan penerbangan awam, kecekapan dan kelestarian alam sekitar.

Buktinya, Kuala Lumpur telah memainkan peranan aktif dan penting dalam pelbagai panel, jawatankuasa dan kumpulan kerja ICAO.

"Kami turut menyokong pelbagai dasar ICAO kerana percaya betapa pentingnya bagi mendapatkan keselamatan secara berterusan untuk sektor penerbangan antarabangsa," katanya.

Anthony berkata, Malaysia turut mengekalkan misi tetap di ibu pejabat ICAO dan menyumbang kepada sekretariat pertubuhan tersebut.

Malah, dalam usaha menyokong pelbagai bidang keutamaan ICAO, khususnya program keselamatan dan perlindungan, beliau berkata Malaysia akan menyumbang sejumlah AS$50,000 (AS$1 = RM4.11) kepada Pelan Keselamatan dan Kemudahan Penerbangan Afrika serta sebanyak AS$50,000 kepada Dana Keselamatan Penerbangan ICAO.

Selain itu, Kuala Lumpur juga akan menyumbang AS$100,000 kepada Dana Alam Sekitar ICAO bagi menyokong usaha penerbangan berasaskan konsep hijau.

"Semua sumbangan ini telah mendapat kelulusan Kabinet dan ia sedang disalurkan kepada ICAO," katanya.

Malaysia telah menjadi negara anggota ICAO sejak 1958. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia