Geng samun kedai serbaneka 24 jam tewas

Mohd Marzukhi
Mohd Marzukhi
A
A
A

TELUK INTAN - Sekumpulan tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun sanggup memandu sejauh 40 kilometer dari Selangor untuk lakukan samun di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Changkat Jong, di sini Jumaat lalu.

Bagaimanapun, kumpulan itu berjaya ditumpaskan dalam tempoh 17 jam apabila mereka ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dalam dua serbuan berasingan di Kampung Batu 38 dan Taman Bernam Jaya, Sabak Bernam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.44 pagi itu, pihaknya menerima kejadian samun membabitkan tiga lelaki yang bersenjatakan parang dan kayu.

"Suspek berjaya melarikan wang hasil jualan, rokok dan telefon bimbit milik pekerja kedai terbabit dengan kerugian keseluruhan dianggarkan bernilai RM1,500.

"Siasatan dijalankan dan hasil risikan membawa serbuan di dua lokasi berbeza di Sabak Bernam dan berjaya menahan ketiga-tiga suspek berusia 17, 20 dan 21 tahun pada jam 7.45 malam," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine menerusi ujian saringan air kencing.

"Kita telah merampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo, Proton Saga flx, sebatang besi dan sebilah parang serta 14 kotak rokok.

"Siasatan lanjut mendapati suspek berusia 20 dan 21 tahun mempunyai rekod dalam jenayah dan dadah manakala remaja terbabit tiada rekod lampau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Marzukhi berkata, kesemua suspek direman sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.