Israel roboh kediaman penduduk Palestin di Baitulmaqdis

Jentera Israel merobohkan bangunan milik Palestin di perkampungan Sur Baher, Baitulmaqdis. - Foto AFP
Jentera Israel merobohkan bangunan milik Palestin di perkampungan Sur Baher, Baitulmaqdis. - Foto AFP
A
A
A

SUR BAHER - Israel hari ini merobohkan beberapa kediaman penduduk Palestin yang dikatakan dibina secara haram di Baitulmaqdis, satu langkah yang mengundang kebimbangan antarabangsa.

Palestin mengecam perobohan di perkampungan Sur Baher yang terletak antara Tebing Barat dan Baitulmaqdis namun rejim Israel mempertahankan langkah tersebut dengan alasan keselamatan.

Ratusan anggota polis dan tentera Israel menutup akses sekurang-kurangnya empat bangunan di kawasan terbabit yang terletak berhampiran tembok pemisah Tebing Barat.

Penduduk dan aktivis diheret keluar dari rumah mereka sementara jentolak merobohkan sekurang-kurangnya tiga bangunan bertingkat, dua daripadanya masih dalam pembinaan.

Israel mendakwa bangunan terbabit dibina terlalu hampir dengan tembok yang bertujuan menghentikan serangan dari Tebing Barat selain mendatangkan risiko kepada nyawa penduduk awam dan tentera.

Menurut Palestin, Israel menggunakan alasan keselamatan untuk mengusir mereka dan operasi meroboh itu melanggar perjanjian yang ditandatangani antara kedua-dua pihak.

Pada 18 Jun lalu, penduduk Sur Baher menerima notis 30 hari daripada pihak berkuasa Israel memaklumkan tentang pelan merobohkan kediaman mereka dan tarikh akhir meninggalkan kediaman tamat pada Jumaat lalu. - AFP

Artikel Berkaitan: