Cadangan proses pengambilan semula pekerja asing dibawa ke Kabinet

Kula Segaran
A
A

PUTRAJAYA - Cadangan untuk membenarkan pekerja asing yang tamat tempoh permit kerja diambil bekerja semula tanpa perlu pulang ke negara asal terlebih dahulu akan dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan, kata Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) di sini hari ini mengambil maklum cadangan ahli NLAC supaya kerajaan mengambil inisiatif berkenaan kerana ia mampu mengurangkan kos pengurusan pengambilan pekerja asing.

Selain itu, katanya ia juga dapat mengelakkan gangguan terhadap aktiviti perniagaan atau perusahaan yang menggunakan khidmat warga asing.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat NLAC itu, Kula Segaran berkata mesyuarat juga menerima cadangan supaya waktu kerja sektor swasta dikurangkan kepada kadar tertentu daripada tempoh 48 jam seminggu ketika ini.

"Cadangan-cadangan ini akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat untuk pertimbangan lanjut," katanya.

Kula Segaran dalam pada itu berkata, pindaan bagi menambah baik Akta Kerja 1955 dijangka dapat dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan.

Penambahbaikan akta itu, yang kali terakhir dipinda pada 2013, akan melibatkan tujuh perkara penting antaranya mempertingkatkan perlindungan kepada pekerja, mengurangkan waktu bekerja dan menangani isu pekerja dipaksa bekerja, katanya.

"Kami masih memperincikan beberapa cadangan yang diterima yang ada antaranya memerlukan pandangan daripada orang ramai dan kerajaan,” katanya, sambil menambah beberapa siri perbincangan berhubung pindaan itu dijalankan sejak enam bulan. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia