Lelaki ditahan atas cubaan bunuh anggota polis

A
A

BINTULU - Seorang lelaki tempatan ditahan atas cubaan membunuh seorang anggota polis berpangkat Korporal ketika Operasi Bersepadu Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dilaksanakan di sini pada Sabtu lepas.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, suspek yang berusia 35 tahun itu telah ditahan setelah menyebabkan Koperal Mohd Sufian Sumiran yang bertugas di Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri, patah tangan kanan ketika menjalankan operasi tersebut di sebuah bekas tapak kilang rotan di Jalan Sungai Nyigu, Bintulu jam 10 pagi hari kejadian.

“Mangsa cuba menahan suspek yang sedang menunggang sebuah motosikal secara melulu untuk melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurutnya, dalam usaha hendak melarikan diri suspek berusia 35 tahun itu telah melanggar mangsa sehingga menyebabkan kecederaan dan perlu dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan perubatan segera.

Katanya, suspek kini disiasat di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh anggota polis tersebut dan anggota keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia