Peniaga rugi RM70, 000 kedai roti canai terbakar

Kedai roti canai yang musnah dalam kebakaran, semalam.
Kedai roti canai yang musnah dalam kebakaran, semalam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang peniaga roti canai kerugian kira-kira 70, 000 apabila kedai diusahakan sejak lebih 30 tahun lalu musnah dalam kebakaran di Jalan Parit Enam Barat, Sungai Besar, petang semalam.

Mohamad Hasan Farid Hamzah, 29, berkata, kedai yang merupakan rumah pertamanya itu menyimpan banyak kenangan kepada keluarganya.

"Semua adik-beradik saya dibesarkan di kedai ini dan segala kenangan serta susah payah kami sukar untuk melupakannya.

"Malah, selepas ini, kami merancang ingin membesarkan bahagian hadapan kedai bagi memenuhi permintaan pelanggan yang sering berkunjung ke sini, tapi impian itu tidak kesampaian dan terpaksa ditangguhkan dahulu," katanya.

Mengulas mengenai kebakaran itu, Mohamad Hasan berkata, ketika kejadian dia sekeluarga berada di rumah untuk berehat selepas selesai berniaga kira-kira jam 12 tengah hari.

Katanya, kakaknya, Mariatul Qibtiah, 38, pergi semula ke kedai itu kira-kira jam 3 petang untuk menyiang ikan bagi berniaga pada keesokan harinya.

"Ketika dalam perjalanan, dia (Mariatul) ternampak kepulan asap hitam dari arah belakang kedai.

"Sebaik tiba, dia buka pintu belakang dan mendapati api merebak ke seluruh kedai. Kebetulan, ada penduduk mengagau ikan di parit berhampiran berlari ke arah kedai bagi menyelamatkan barangan serta memadamkan api," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kebakaran tersebut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Khuzaimey Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.07 petang dan tiba di lokasi, 3.15 petang.

Beliau berkata, operasi disertai sepasukan pegawai dan anggota seramai 18 orang termasuk dua jentera dengan bantuan dari BBP Sabak Bernam.

"Dalam kejadian tiga petang itu, premis berkenaan musnah 85 peratus namun tidak membabitkan kemalangan jiwa," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun CIMB 12100005985201 atas nama Mohamad Hasan Farid atau menghubunginya di talian 019-2451383.