Ahli sindiket urus keldai dadah ke luar negara diberkas

Antara barang yang dirampas susulan tertangkapnya suspek di Ampang Jumaat lalu. Gambar kecil: R Sundralingam
Antara barang yang dirampas susulan tertangkapnya suspek di Ampang Jumaat lalu. Gambar kecil: R Sundralingam
A
A
A

AMPANG - Polis memberkas dua ahli sindiket dadah yang dipercayai berperanan mengupah 'runner' bagi menguruskan keldai dadah untuk ke luar negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tangkapan dibuat sepasukan polis di hadapan sebuah premis automobil di Jalan Pandan Indah 6/1 di sini Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 11 malam, sepasukan polis daripada JSJN Bukit Aman berjaya mengesan sebuah kenderaan jenis Ford Focus dan menahan seorang lelaki berusia 22 tahun.

"Soal siasat kemudian membawa serbuan di sebuah kilang di Kampung Baru Ampang.

"Dengan dipandu arah suspek, pemeriksaan menemui satu plastik berwarna merah dan kuning yang di dalamnya berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 223 gram di atas meja," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, beberapa barang telah dirampas antaranya alat penimbang dan penyeduk plastik.

Tambahnya, susulan itu, seorang lagi lelaki tempatan berusia 28 tahun berjaya ditahan di pintu pelepasan KLIA.

Mengulas tentang pembabitkan suspek dalam sindiket dadah, Sundralingam berkata, suspek dipercayai telah aktif sejak tiga bulan lalu akan mengurus keldai dadah secara 'body pack' untuk ke luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya suspek ini mempunyai kaitan dengan tangkapan dua lelaki pada 6 Julai lalu yang cuba menyeludup dadah ke Busan, Korea Selatan dengan menyembunyikannya di dalam tapak kasut," katanya.

Tegasnya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta dadah Berbahaya 1952.