Kerjasama JPJ, polis

Dalam usaha meningkatkan keselamatan dan memastikan peraturan jalan raya sentiasa dipatuhi oleh pemandu bas ekspres

PDF SEMALAm
PDF SEMALAm
A
A
A
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran perkukuhkan kerjasama dalam usaha meningkatkan keselamatan dan memastikan peraturan jalan raya sentiasa dipatuhi oleh pemandu bas ekspres.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penempatan pegawai penguat kuasa di lokasi strategik seperti diumumkan Kementerian Pengangkutan dan peningkatan aktiviti penguatkuasaan akan dapat meningkatkan tahap kepatuhan pemandu bas ekspres.

Beliau berkata, semua pihak seperti NGO, pengamal media dan orang ramai juga boleh memainkan peranan dengan meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya, serta mengamalkan pemanduan berhemah ketika di jalan raya.

"Aspek Kepolisan Masyarakat (Community Policing) juga boleh diamalkan bagi meningkatkan kadar kepatuhan undang-undang jalan raya.

"Sebagai contoh, sekiranya ada didapati pemandu bas ekspres atau pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang, orang ramai boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil," katanya.

Lam Thye berkata, ia sekali gus menggalakkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan kerana kemungkinan untuk kesalahan yang dilakukan dilaporkan kepada pihak berkuasa adalah tinggi.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Sinar Siasat semalam, mengenai sikap segelintir pemandu bas ekspres yang tidak berdisiplin ketika memandu, antaranya menggunakan telefon bimbit, memandu melebihi had laju dibenarkan, merokok, memotong di sebelah kiri jalan dan sebagainya.

LAM THYE
LAM THYE



Kesalahan-kesalahan itu disaksikan sendiri Wartawan Sinar Siasat yang mengikuti operasi bersama penguat kuasa JPJ Selangor pada 19 dan 20 Disember lalu yang menyamar sebagai penumpang di dalam bas ekspres.

Artikel Berkaitan:


Selain itu, katanya, kerajaan juga telah menetapkan tempoh waktu maksimum memandu bagi pemandu bas ekspres adalah lapan jam sehari.

"Bagi setiap empat jam pemanduan, pemandu bas ekspres juga perlu berehat selama 30 minit sebelum boleh menyambung perjalanan. Bagi perjalanan jarak jauh, dua orang pemandu adalah diperlukan. Pemandu pertama akan memandu bagi tempoh empat jam pertama, sementara pemandu kedua berehat.

"Kemudiannya, pertukaran pemandu boleh dilakukan di kawasan rehat dan rawat, dan pemandu kedua akan meneruskan pemanduan bagi empat jam berikutnya. Ini berterusan sehingga bas tiba ke destinasi," katanya.

Jelasnya, Kementerian Pengangkutan juga telah menubuhkan Panel Kaji Semula Syor (RRP) bagi memantau syor penambahbaikan berikutan kes kemalangan bas di Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada tahun 2013 secara terperinci.

Kata Lam Thye, laporan lengkap RRP telah dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan dan telah bersetuju untuk melaksanakan beberapa langkah menjelang tahun 2020.

"Mewajibkan pemasangan dan pemakaian tali pinggang keselamatan bagi semua kerusi penumpang bas ekspres baharu dan bas persiaran, mewajibkan semua bas dilengkapi dengan sistem keselamatan ‘brake retarder’ dan pematuhan terhadap penggunaan ‘speed limiter’.

"Selain itu, kerajaan juga bakal mewajibkan pemasangan Sistem Pemantauan CCTV pada semua bas baharu dan mewajibkan Program Penggredan Keselamatan (SSG) untuk semua syarikat pengendali bas ekspres," katanya.