Mereka sepakat untuk tidak ‘membahan’ saya - Azmi Caliph Busker

Azmi Caliph Busker. - Foto Intagram Azmi Caliph Buskers
A
A

MESKI lebih dikenali sebagai seorang penyanyi, vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat mengakui sentiasa terbuka untuk mencuba cabang seni yang lain untuk mencabar kemampuan bakatnya.

Penglibatannya dalam Muzikal Lawak Superstar yang kini sedang hangat berlangsung juga dijadikan sebagai salah satu platform untuknya mencuba sesuatu yang baru dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Siapa sangka, Azmi yang disangka serius sebelum ini dapat beraksi dan membuat lawak komedi dengan begitu baik menerusi kumpulan Heart yang turut dianggotai oleh Ezad Lazim dan Daniel Zaini.

Malah mereka juga telah dinobatkan sebagai Superstar of The Week pada minggu keempat yang berlangsung pada Jumaat lalu di atas persembahan yang cukup menghiburkan.

“Pada awalnya saya risau juga nak masuk program ini kerana ia adalah rancangan komedi dan bukan bidang saya.

“Lagipun selalunya ada yang anggap orang macam saya ni, mesti tak boleh buat itu dan tak boleh buat ini.

“Namun saya tak sangka Daniel dan Ezad percayakan saya untuk bersama-sama mereka menyertai program ini menerusi Heart. Perasaan kekok dan takut itu mula hilang bila kami mula bekerjasama dan serasi,” kata Azmi.

Bagaimanapun, kata Azmi, untuk mengelakkan kecaman jika berlaku apa-apa salah faham daripada penonton dalam setiap persembahan mereka, Daniel dan Ezad tidak akan ‘membahan’ diirnya, sebaliknya dia yang akan berbuat demikian.

“Dari awal lagi ahli kumpulan sudah sepakat untuk tidak ‘membahan’ saya kerana bimbang akan disalah erti penonton dan seterusnya mengundang kepada kecaman.

“Jadi dalam persembahan kami, sayalah yang akan ‘membahan’ Daniel mahupun Ezad. Saya yang kena buat nakal sikit berbanding mereka.

“Saya tahu bukan senang nak melawak tapi kita cuba buat ikut situasi. Tidak memaksa dan ia akan nampak natural,” jelas Azmi kepada Sinar Harian.

Antara selebriti lain yang masih meneruskan persaingan dalam program Muzikal Lawak Superstar ini ialah Ain Edruce, Elly Mazlien, Tomok, Black, Zulin Aziz, Fakhrul UNIC, Khir Rahman, Shiha Zikir, Ammar Titan, Syura dan Wani Kayrie.

Sementara barisan pelawak pula terdiri daripada Bell Ngasri, Achey, Abam, Fad Bocey, Issey, Tauke, Joey, Vicha, Ali Puteh, Mamak Puteh, Man Raja Lawak, Amir Raja Lawak, Wan Gegau, Chiwan Chilok, Achok Chilok, Kamal Chilok, Atu Zero dan Sharif Zero dan ramai lagi.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia