Chandrayaan-2 akhirnya berjaya dilancarkan

Detik bersejarah pelancaran Chandrayaan-2 itu turut disiarkan stesen TV.
Detik bersejarah pelancaran Chandrayaan-2 itu turut disiarkan stesen TV.
A
A
A

NEW DELHI - India berjaya melancarkan misi kedua negara itu ke bulan seminggu selepas ia terpaksa dibatalkan pada saat akhir berikutan berdepan masalah teknikal.

Chandrayaan-2 dilancarkan pada jam 2.43 petang (waktu tempatan) hari ini dari Stesen Angkasa Satish Dhawan di Sriharikota di Andhra Pradesh.

Detik bersejarah itu turut disiarkan secara langsung menerusi stesen TV dan akaun media sosial Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) serta disaksikan ribuan peminat.

Bilik kawalan ISRO juga bergema dengan sorakan para petugas beberapa minit selepas pelancaran Chandrayaan-2 yang diharap dapat melakukan pendaratan pertama di bahagian kutub selatan bulan.

Pada 15 Julai lalu, countdown terpaksa dihentikan pada minit ke-56 sebelum misi itu dilancarkan selepas masalah teknikal dikesan pada sistem pelancaran kenderaan.

Beberapa hari kemudian, media tempatan melaporkan berlaku kebocoran gas helium pada enjin roket terbabit.

Saintis bagaimanapun berjaya menyelesaikan masalah itu selepas puncanya dikenal pasti.

“Ia mudah untuk dibaiki. Tetapi, ia adalah masalah serius yang boleh mengakibatkan kegagalan keseluruhan,” kata sumber di ISRO.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, ia akan melakukan perjalanan selama dua bulan sebelum berada pada kedudukan orbit 100 kilometer daripada permukaan bulan.

Dari situ, pendarat digelar Vikram yang dinamakan sempena perintis program angkasa India, Vikram Sarabhai akan berpisah dari kapal utama dan mendarat secara perlahan di permukaan kutub selatan pada bulan.

Misi itu akan diteruskan oleh kenderaan robotik Pragyaan yang akan mengumpulkan sampel mineral dan kimia untuk analisis saintifik.

Selepas itu, pengorbit seberat 2.4 tan akan mengelilingi bulan selama setahun untuk memetakan permukaan bulan dan mengkaji atmosfera bahagian luarnya. - Agensi