Jawatankuasa Pilihan Dewan Negara akan ditubuh

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff bercakap pada sidang media ketika Persidangan Dewan Negara di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff bercakap pada sidang media ketika Persidangan Dewan Negara di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu Jawatankuasa Pilihan Dewan Negara akan ditubuhkan dalam masa terdekat dalam usaha memperkasa institusi Parlimen, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara (JKRDN) Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu berdasarkan peruntukan perundangan mengikut peraturan mesyuarat Dewan Negara yang dewan boleh mengusulkan penubuhan jawatankuasa pilihan tersebut.

"Usul penubuhan jawatan kuasa pilihan itu merupakan pendirian secara rasmi Tan Sri Speaker sendiri (Yang di-Pertua Dewan Negara Datuk S A Vigneswaran)... beliau akan mewujudkan jawatankuasa pilihan itu secepat mungkin di bawah kerangka kuasa speaker Dewan Negara," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Mohd Yusmadi berkata usul penubuhan jawatankuasa pilihan tersebut juga merupakan antara sembilan perkara yang terdapat di dalam Laporan Reformasi Dewan Negara yang didedahkan hari ini.

"Perkara tiga dalam laporan setebal 37 muka surat itu ada mengesyorkan untuk memanfaatkan Jawatankuasa Pilihan Dewan Negara yang lebih baik dalam menangani isu-su dihadapi oleh negara. Laporan itu juga menekankan peranan ahli dewan seperti yang dinyatakan dalam perenggan 64 Laporan Suruhanjaya Reid 1957.

"Cadangan kami dibuat dengan niat untuk membolehkan senat menjadi forum perdebatan dan perbincangan yang berpengaruh dan badan yang akan menyumbangkan semakan berharga kepada undang-undang dan yang akan memberi kelewatan bagi kes-kes yang luar biasa,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata bagi mengukuhkan kebebasan Parlimen serta menambah baik peranan Dewan Negara, laporan reformasi itu juga mengesyorkan beberapa cadangan antaranya mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dengan pindaan yang sesuai berdasarkan peruntukan dan pengalaman seperti diamalkan di Dewan Senat Kanada, Australia dan India.

Katanya, laporan tersebut turut mengesyorkan agar memberi peluang kepada Dewan Negara membawa rang undang-undang sebagai pemula yang tidak kontroversi secara politik untuk meringankan beban Dewan Rakyat dan menubuhkan Institut Parlimen bagi melatih Ahli Parlimen serta mempromosi demokrasi Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, turut disyorkan ialah menubuhkan jawatankuasa pilihan mengenai penelitian rang undang-undang agar dapat memelihara kedaulatan undang-undang dan melindungi kepentingan rakyat.

JKRDN yang dianggotai 14 ahli Dewan ditubuhkan pada Disember lalu bagi menambah baik institusi berkenaan.

Penubuhan jawatankuasa itu hasil perbincangan sesama anggota dan mendapat persetujuan Yang di-Pertua Dewan Negara Vigneswaran, yang turut mencadangkan beberapa perkara bagi reformasi Dewan Negara.

Antara lain, ia bertujuan mengangkat kebebasan Dewan Negara seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan, pengurusan dan pentadbiran lebih cekap serta budaya politik baharu melangkaui kepartian atau kelompok tertentu. - Bernama