NPL penjaja, peniaga kecil 98 peratus

Menteri Perdangangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan di KPDNHEP hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Pinjaman tidak berbayar (NPL) melibatkan penjaja dan peniaga kecil melalui kemudahan pinjaman yang diselia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sejak 2013 mencecah sehingga 98 peratus, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, sejumlah RM160.5 juta nilai pinjaman di bawah kawal selia kementerian itu telah dikeluarkan sejak 2013 bagi membantu golongan usahawan kecil memajukan perniagaan mereka.

Beliau memaklumkan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan Bil 1/2019 di sini hari ini. Ia dihadiri Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam portfolio penjaja kecil serta pengerusi persatuan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.

"Saya berkongsi dengan pemimpin persatuan-persatuan penjaja mengenai hal ini. Jika di masa depan terdapat program pinjaman seperti ini dan kementerian (ini) diberi satu peruntukan, sudah tentu rekod pelaksanaan program sebelum ini akan diambil kira kerajaan khususnya Kementerian Kewangan," katanya.

Dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut, Saifuddin Nasution berkata beliau telah mengarahkan pegawai kementerian untuk menyemak butiran rekod peminjam serta mengenal pasti punca kegagalan mereka membayar balik selain mengambil langkah perlu untuk melaksanakan kutipan semula.

Selain itu, katanya pengumpulan data penjaja dan peniaga kecil yang lebih kemas akan dilaksanakan melalui kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pihak berkuasa tempatan setiap negeri untuk digunakan bagi membantu meningkatkan daya saing mereka.

Saifuddin Nasution turut mengumumkan sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan akan diadakan pada 18 Nov depan di Kedah bagi mengiktiraf sumbangan penjaja dan peniaga kecil kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Mengenai isu penjualan gula-gula Ghost Smoke yang dapat mengeluarkan asap seperti rokok, beliau berkata perkara itu sedang diteliti pihak kementerian di bawah Perintah Kawalan Harga iaitu Pelabelan oleh Pengilang, Pengimport, Pengeluar atau Penjual borong 1980.

"Kita nak tahu dulu dari mana produk ini datang sama ada dari tempatan atau luar negara dan adakah mereka patuh dari segi undang-udang pelabelan. Sebelum langkah susulan diambil, kita kena tahu perkara ini dengan tepat dan sejauh mana produk ini telah berada di Malaysia,” katanya. - Bernama