PKNP FC sasar suku akhir Piala Malaysia

Pemain PKNP FC, Hafiz Kamal melakukan percubaan ke gawang lawan pada perlawanan berkenaan. Foto: PKNP FC
Pemain PKNP FC, Hafiz Kamal melakukan percubaan ke gawang lawan pada perlawanan berkenaan. Foto: PKNP FC
A
A
A

IPOH - Biarpun tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan, ketua jurulatih PKNP FC Abu Bakar Fadzim tetap menyasarkan skuad The Juggernauts itu mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2019.

Bagaimanapun Abu Bakar berkata, pihaknya realistik berhubung perkara berkenaan dan menunggu undian peringkat kumpulan Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung esok.

Malah katanya, dengan kapasiti pemain sedia ada pihaknya perlu bersedia untuk berdepan pasukan-pasukan handalan lain pada saingan peringkat kumpulan itu nanti.

"Setelah kita tidak bernasib baik dalam saingan di Liga Super kita akan cuba memberikan yang terbaik pada saingan Piala Malaysia pula.

"Secara realistik, kita juga sasarkan untuk berjaya mara ke peringkat suku akhir sebagaimana yang pernah kita lakukan pada musim 2017 lalu," katanya kepada Sinar Harian.

Untuk rekod, PKNP tewas 0-1 kepada PJ City FC di Stadium Petaling Jaya semalam.

Sekali gus menyaksikan skuad The Juggernauts itu menamatkan saingan pada kedudukan kesebelas Liga Super dengan16 mata hasil tiga kemenangan, seri tujuh kali dan tewas 12 kali daripada 22 perlawanan.

Sementara itu mengulas kekalahan kepada skuad The Pheonix itu, Abu Bakar berkata, jentera serangan pasukan dilihat gagal memanfaatkan beberapa peluang gol pada perlawanan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada banyak peluang, namun kita gagal sempurnakan dan ditambah pula pasukan lawan mendapat sepakan penalti di penghujung perlawanan yang menambahkan lagi tekanan kepada pasukan kita," katanya.