Bukan kes curi, tapi wang 'ditelan' mesin ATM

Mohd Zamri
Mohd Zamri
A
A
A

BESUT - Dakwaan seorang pesara guru wanita bahawa wang RM800 yang dikeluarkan di mesin ATM sebuah bank di bandar Jertih pada Jumaat lepas, lesap akibat dilarikan penjenayah sebenarnya meleset.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, siasatan lanjut polis mendapati wang tersebut bukan hilang sebaliknya 'ditelan' semula masuk ke dalam mesin ATM tersebut.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kerana mangsa yang berusia 68 tahun dari Kampung Raja itu tidak mengambil wang keluar dalam tempoh ditetapkan.

“Warga emas tersebut dipercayai mengambil masa agak lama untuk memasukkan kad ATM ke dalam beg tangannya menyebabkan wang tersebut masuk kembali ke mesin ATM."

“Keadaan itu menyebabkan mangsa menyangka wangnya telah dilarikan oleh individu lain tambahan pula mangsa mendakwa ada pelanggan lain memberitahunya wang tersebut telah dilarikan penjenayah,” katanya.

Mohd Zamri berkata, rakaman kamera litar tertutup mendapati tidak ada individu lain menghampiri mangsa dan semakan pihak bank mendapati wang tersebut masuk kembali ke dalam mesin ATM berkenaan.

Sehubungan itu pihaknya menganggap kes tersebut selesai kerana ia bukan melibatkan kes kecurian.

Sebelum ini media melaporkan tentang seorang pesara guru wanita kerugian wang RM800 selepas dipercayai dilarikan penjenayah ketika mengeluarkan wang di mesin ATM sebuah bank kira-kira jam 9.30 pagi, Jumaat lepas di sini.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporannya, mangsa memberitahu, seorang pelanggan wanita lain yang menyedari kejadian itu memberitahunya dia melihat dua lelaki tidak dikenali telah mengambil wang mangsa dan terus beredar.