Dua pengedar dadah bergiat aktif tumpas

Abdullah (tiga, kanan) dan Ab Aziz (dua, kanan) menunjukkan barangan rampasan semasa sidang media di IPD Pasir Mas, hari ini.
A
A

PASIR MAS - Aktiviti pengedaran dadah yang bergiat aktif di jajahan ini berjaya dipatahkan selepas penahanan dua lelaki dalam serbuan berasingan di Tok Uban dan Rantau Panjang semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, serbuan pertama dilakukan Pasukan Gerakan AM (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada jam 6.45 petang di Kampung Gong Dayak, Tok Uban, PGA berjaya merampas pelbagai jenis dadah berjumlah RM14,010.

"Seorang lelaki berusia 19 tahun turut ditahan oleh anggota PGA di sebuah bangsal dalam kebun getah di kampung berkenaan.

"Ketika ditahan, pergelutan telah berlaku apabila suspek cuba bertindak melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan dijalankan, anggota PGA telah menemui 700 biji erimin 5, 27 liter kodien dan 17 kilogram (kg) daun ketum," katanya pada sidang media di IPD Pasir Mas, hari ini.

Hadir sama, Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Deputi Superintendan Ab Aziz Che Embun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja telah bertindak sebagai orang tengah dalam urusan jual beli dadah untuk pasaran sekitar Pasir Mas.

Katanya, bagaimanapun saringan air kencing ke atas suspek mendapati negatif dadah.

Abdullah berkata, serbuan kedua di Rantau Panjang pada jam 8 malam pihaknya berjaya menahan seorang pengedar berusia 28 tahun di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada penemuan satu bungkusan plastik mengandungi erimin 5.

"Saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati dia turut positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Abdullah berkata, kedua-dua suspek direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai RM26,000," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia