Azmin serah pihak berkuasa dedah dalang

Mohamed Azmin ketika ditanya pemberita di Dewan Besar Felcra Bandar Seberang Perak, di sini hari ini.
Mohamed Azmin ketika ditanya pemberita di Dewan Besar Felcra Bandar Seberang Perak, di sini hari ini.
A
A
A

PASIR SALAK - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mendedahkan dalang penyebaran video intim yang didakwa mirip beliau.

Mohamed Azmin berkata, beliau tidak mempunyai peranan untuk mendedahkan siapa dalang terlibat berikutan siasatan mengenai penyebaran video berkenaan dijalankan pihak polis.

"Saya telah tegaskan bahawa kita serahkan kepada pihak berkuasa. Pihak berkuasa telah pun membuat laporan awal dan hasil siasatan bahawa ada tangan-tangan ghaib yang terlibat dengan jumlah yang begitu besar untuk melancarkan serangan fitnah ini.

"Jadi, kita serahkan kepada pihak berkuasa. Saya tidak mempunyai peranan untuk membuat pendedahan tersebut kerana siasatan dibuat pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Silaturahim Bersama Warga Peserta Felcra Seberang Perak di Dewan Besar Felcra Bandar Seberang Perak, di sini hari ini.

Semalam, Mohamed Azmin mendedahkan bahawa beliau tahu siapa individu yang menjadi dalang dalam penyebaran video intim yang dikaitkan dengan dirinya selepas menghadiri majlis doa selamat dan kesyukuran menolak fitnah terhadapnya di Kediaman Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR itu enggan mendedahkan nama individu berkenaan kerana perkara itu masih dalam siasatan dan memaklumkan supaya menunggu siasatan tersebut lengkap terlebih dahulu.

Mohamed Azmin turut memaklumkan beliau sudah menjangkakan terdapat unsur-unsur dalaman parti sejak hari pertama video tersebut tersebar.

Artikel Berkaitan: