Pencemaran air: MB Selangor yakin ada unsur sabotaj

Amirudin mendedahkan perbuatan sabotaj yang dipercayai punca pencemaran minyak diesel itu pada sidang media di Loji Pembersihan Air Selangor Bestari Jaya petang tadi.
A
A

KUALA SELANGOR - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari percaya tumpahan diesel di Sungai Selangor

adalah disebabkan perbuatan sabotaj.

Beliau berkata, diesel itu dikesan di muka sauk loji sebelum operasi dihentikan bagi mengelak air rawatan di loji berkenaan dicemari bau minyak tersebut.

Menurutnya, kejadian berlaku selepas proses pemulihan gangguan bekalan pada 19 Julai lalu sampai ke tahap 97 peratus pulih petang kelmarin.

"Pada 19 Julai lalu, pencemaran minyak hitam dikesan di loji rawatan Indah Water di Batang Kali yang terhasil daripada sedutan atau bahan keluar masuk di loji terbabit.

"Semalam proses pemulihan sudah sampai 97 peratus tapi berlaku satu lagi pencemaran yang dikesan berpunca dari pontun pam pasir kira-kira enam kilometer dari Loji Pembersihan Air Selangor Bestari Jaya," katanya pada sidang akhbar di loji berkenaan di sini hari ini.

Amirudin berkata, beliau sendiri meninjau ke lokasi pontun pam pasir terbabit yang berada di tengah sungai.

Menurutnya, klip saluran paip tong minyak itu didapati tercabut sehingga menyebabkan diesel terkeluar memasuki aliran sungai.

"Saya lihat salur yang keluar itu tidak mungkin terkeluar dengan sendiri disebabkan angin atau hujan. Sebaliknya disebabkan oleh ada mekanikal atau ada orang yang menariknya untuk mengeluarkan minyak.

"Sebab itu kita tidak boleh menafikan atau menolak ada perbuatan sabotaj atau kecuaian dalam kes ini. Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) telah buat laporan polis malam tadi," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan terdapat cubaan pencemaran air di negeri ini ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih lalu.

Menurutnya, aduan orang awam membantu pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menghalang cubaan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kewujudan minyak diesel dalam sungai mungkin akibat sabotaj


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia