SSeMKL operasi di lokasi baharu tahun depan

Kementerian Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
A
A
A

PUTRAJAYA - Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) akan beroperasi di lokasi baharu di Jalan Seladang, Off Jalan Pasar, Pudu, mulai sesi persekolahan 2019.

Menurut Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini, SSeMKL itu yang dibangunkan di kawasan seluas 2.8 hektar telah menerima Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 6 Dis lepas.

"Ibu bapa dan pelajar dimaklumkan mengenai perpindahan ke lokasi baharu mulai hari ini," katanya.

SSeMKL, yang dibuka sejak Januari 2014, sebelum ini beroperasi secara berkongsi premis di Sekolah Menengah Kebangsaan Shah Alam, Bukit Jelutong, Selangor.

Menurut kementerian itu lagi, enrolmen murid bagi tingkatan satu hingga tingkatan lima sehingga November 2018 adalah seramai 219 orang pelajar, melibatkan empat bidang kesenian iaitu Seni Muzik, Seni Tari, Seni Teater dan Seni Visual.

Kementerian Pendidikan berkata, visi Sekolah Seni Malaysia ialah untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan kesenian dan kebudayaan bagi melahirkan budayawan yang berilmu.

"Kementerian Pendidikan sedang dalam usaha untuk menyediakan infrastruktur yang terbaik ke arah kecemerlangan potensi murid dan pengukuhan perpaduan melalui sekolah seni," katanya.

SSeMKL adalah sekolah seni ketiga dibuka selepas Sekolah Seni Malaysia Sarawak (SSeMS) dan Sekolah Seni Malaysia Johor (SSeMJ). - Bernama

Artikel Berkaitan: