Tiga akaun Najib catat transaksi sangat tinggi: Pegawai bank

Najib - Foto ZAHID IZZANI
Najib - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai bank memberitahu perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tiga akaun semasa bekas Perdana Menteri itu mencatatkan transaksi dalam jumlah yang sangat tinggi antara 2011 dan 2015.

Joanna Yu Ging Ping, 48, bekas pengurus perhubungan Ambank Berhad berkata, transaksi berkenaan termasuk pemindahan dana masuk dari luar negara dalam mata wang asing.

Semasa membaca kenyataan saksinya pada hari ke-41 perbicaraan, beliau yang kini tidak bekerja berkata, bagi tujuan melaporkan pemindahan dana masuk dari luar negara ke Bank Negara, beliau bertanya Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd) mengenai tujuan penerimaan dana masuk itu dan dimaklumkan bahawa dana berkenaan adalah 'hadiah'.

"Sebagai pengurus perhubungan, saya rapat dengan pelanggan korporat dan individu di dalamnya yang mempunyai kedudukan tinggi, dengan bank, biasanya kerana kedudukan dan kekayaan mereka. Najib termasuk dalam kategori pelanggan, oleh itu kami merupakan penghubung bagi perkara berkaitan bank.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib mahu buka akaun untuk terima derma daripada Saudi

"Bagaimanapun, memandangkan Najib telah memberikan mandat kepada Nik Faisal untuk bertindak bagi pihaknya, saya biasanya bertemu dan berurusan dengan Nik Faisal dan tidak secara langsung dengan Najib," kata saksi pendakwan ke-54 itu semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed.

Menjelas lanjut mengenai perkara itu, saksi berkata, beliau tidak mempunyai akses langsung ke akaun Najib dalam bank tetapi sebagai pengurus perhubungannya, beliau akan membantu dan mengemukakan sebarang permintaan yang diterima daripada Najib atau Nik Faisal sebagai pemegang amanah berhubung akaun Najib ke bahagian produk berkaitan dalam Ambank.

"Semua pemindahan dana antara akaun semasa Najib adalah mengikut arahan bertulis yang diterima daripada Nik Faisal mengikut mandat yang diberikan kepadanya. Seperti yang disebutkan, saya membantu dengan menghantar arahan bertulis yang diterima daripada Nik Faisal ke cawangan untuk tindakan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, semasa terdapat keadaan di mana akaun semasa telah terlebih keluar, bank tidak akan secara automatik menolak cek-cek yang dikeluarkan Najib.

"Cawangan akan memaklumkan kepada saya mengenai keadaan terlebih keluar, dan saya akan menghubungi Nik Faisal dengan segera melalui panggilan telefon, mesej atau emel untuk mengemas kini kepadanya untuk memperbaiki keadaan terlebih keluar bagi memastikan cek dapat dijelaskan, Nik Faisal tidak boleh dihubungi,” katanya.

Saksi itu berkata, apabila arahan diterima daripada Nik Faisal sebagai pemegang mandat bagi akaun Najib, arahan itu adalah daripada Najib sendiri.

"Saya juga mengemas kini Pengarah Urusan Kumpulan Ambank Group Cheah Tek Kuang mengenai arahan yang sama terima dan tindakan yang diambil berhubung dengan akaun tersebut ketika ditanya oleh Cheah dari masa ke masa.

"Ini kerana saya percaya bahawa Najib berhubung dengan Cheah dan saya perlu memaklumkan perkembangan terkini supaya beliau tahu mengenai tindakan diambil atau ditangguhkan di pihak kami," katanya.

Beliau berkata, Najib mengeluarkan surat bertarikh 3 Mac 2015 untuk membatalkan kad Visa Platinum card (nombor 4585 8180 0000 5496) dan kad MasterCard Platinum (nombor 5289 4380 0003 8961).

"Selepas itu saya dimaklumkan oleh bahagian kad kredit bank bahawa kad kredit itu tidak dapat dibatalkan kerana terdapat baki belum jelas untuk kedua-dua kad.

"Saya memaklumkan perkara itu kepada Nik Faisal. Kedua-dua kad kredit dibatalkan pada 11 Mac 2015 susulan pembayaran baki tertunggak pada 10 Mac 2015.

"Berhubung tiga akaun semasa yang dibuka pada 2013, Datuk Seri Najib mengeluarkan surat arahan bertarikh 3 Mac 2015 untuk menutup ketiga-tiga akaun berkenaan dan mendebitkan sebarang baki kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd. Saya mengemukakan surat tersebut kepada cawangan untuk tindakan selanjutnya.

Memandangkan akaun semasa Najib yang sentiasa terlebih dibelanjakan dan AmBank sering terpaksa menunggu dana dimasukkan bagi menjelaskan cek-cek yang dikeluarkan Najib, serta Cheah telah bersara dan tidak lagi dalam lembaga pengarah AmBank Board pada akhir 2014 yang bermakna AmBank tidak lagi mempunyai Cheah untuk mengekalkan hubungan dengan Najib, pada akhir 2014, pengurusan kanan AmBank mengemukakan cadangan dan membincangkan untuk menutup akaun semasa Datuk Seri Najib.

"Akaun semasa Najib dengan Ambank akhirnya ditutup pada 9 Mac 2015," katanya.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. - Bernama