Amir Abdullah, jemaah haji dari Johor meninggal dunia

No Image Caption
A
A
A

MAKKAH - Seorang jemaah haji, Amil Abdullah, 63, dari Johor Bahru, Johor meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah yang mengakibatkan kegagalan fungsi badannya di Hospital King Faisal di sini pada Jumaat lepas (19 Julai).

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, Amil dimasukkan ke Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah di sini sebelum dibawa untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital tersebut yang kemudian meninggal dunia pada jam 2.20 petang.

"Allahyarham tiba melalui penerbangan KT11 pada 9 Julai lepas bersama isterinya di Madinah dan berada selama enam hari di Madinah sebelum bertolak ke Makkah.

"Jenazah Allahyarham diuruskan oleh Muassasah Asia Tenggara dan disembahyangkan di Masjidil Haram sebelum dikebumikan di sini selepas solat Subuh pada 20 Julai lepas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH Makkah Abraj Janadriyah di sini hari ini.

Tahun ini seramai 30,200 jemaah Malaysia akan melaksanakan ibadah haji dengan lebih 13,000 orang telah tiba di sini dan Madinah, dibantu 640 petugas TH.

Muassasah Asia Tenggara merupakan pihak dilantik kerajaan Arab Saudi untuk menguruskan segala penyediaan kemudahan jemaah haji dari negara-negara Asia Tenggara, termasuk penginapan dan pengangkutan.

Syed Saleh berkata, pihaknya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan TH akan melakukan badal haji secara percuma untuk Allahyarham.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 16,628 jemaah haji telah tiba di Tanah Suci sehingga hari ini yang mana daripada jumlah itu 93 peratus telah berada di Makkah dan selebihnya di Madinah.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini semua jemaah haji akan tiba di Makkah dari Madinah dan mulai esok semua jemaah haji akan berada di Makkah. Pada masa ini kita menerima jemaah haji secara terus di Jeddah dan bukan lagi di Madinah," katanya.

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, trend cuaca panas berterusan di sini dengan suhu mencecah 51 darjah Celsius, justeru jemaah haji dinasihatkan supaya sentiasa menitikberatkan penjagaan diri mereka dengan minum banyak air dan tidak terdedah terlalu lama kepada cahaya matahari. - Bernama