Kementerian Pendidikan kaji keperluan tubuh SMJK Tamil

Teo Nie Ching
Teo Nie Ching
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan sedang mengkaji keperluan untuk menubuhkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tamil bagi meningkatkan tahap pendidikan masyarakat India.

Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata kementerian itu telah menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Masyarakat India bagi meneliti lanjut perkara itu.

"(Cadangan ini) memerlukan kajian yang teliti dan holistik supaya penyelesaian jangka masa panjang dapat diperoleh.

"Penelitian yang ekstensif ini akan merangkumi pelbagai aspek penting seperti kriteria standard, unjuran murid, perundangan dan kemampuan kewangan kerajaan,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk T. Mohan yang ingin tahu status pembinaan SMJK Tamil pertama di Malaysia yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan seperti mana yang terkandung dalam Janji ke-lima: Iltizam khusus Pakatan Harapan untuk masyarakat India.

Teo berkata kerajaan juga akan mengambil kira pandangan dan cadangan pelbagai pihak berkepentingan khususnya daripada masyarakat India dalam kajian tersebut.

Tambahnya, penubuhan sesebuah sekolah menengah tertakluk kepada peruntukan di bawah Seksyen 30 dan 31 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). -Bernama

Artikel Berkaitan: