Usaha cari dua anggota 4RRD hilang di Pulau Perak giat dijalankan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) menegaskan usaha mencari dan mengesan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4RRD) yang hilang ketika melaksanakan tugas operasi di Pulau Perak, Kedah sejak Jumaat lalu sedang giat dijalankan.

Mindef memaklumkan, anggota dikenal pasti sedang bertugas dalam Op Pejarak di Pulau Perak itu adalah Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses ak Logers.

“TDM dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mengatur gerak aset dan sedang giat menjalankan aktiviti pencarian bermula pada pagi 20 Julai di kawasan pulau dan perairan persekitaran bagi mengesan anggota-anggota tersebut.

“Usaha pencarian telah dipergiatkan bagi memastikan anggota tersebut ditemui dengan secepat mungkin,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Mindef berkata, ketiadaan anggota dikesan pada lewat malam 19 Julai ketika Ketua Penempatan membuat perbarisan pemeriksaan malam bagi mengira kekuatan.

“Usaha mencari dan mengesan dua anggota tersebut telah dilaksanakan oleh anggota yang bertugas di pulau berkenaan. Usaha pencarian dihentikan pada awal pagi 20 Julai berikutan angin kuat serta hujan lebat selain penglihatan yang amat terhad,” katanya.

Op Pejarak merupakan operasi yang dilaksanakan di bawah kawalan Markas Pemerintahan Armada Barat, TLDM.

Ia melibatkan penempatan anggota TDM di dua buah pulau di antara perairan Kedah dan Perak.

Artikel Berkaitan: