JPJ Melaka lelong 87 kenderaan

Muhammad Firdaus melihat antara kenderaan yang akan dilelongkan pada 15 Ogos depan.
A
A

MELAKA TENGAH - Sebanyak 87 kenderaan pelbagai jenis akan dilelong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, pertengahan bulan depan.

Pengarahnya, Muhammad Firdaus Sharif berkata, lelongan dijadualkan pada 15 Ogos di pejabat JPJ negeri itu melibatkan sebanyak 84 buah kereta, dua buah van dan sebuah lori.

Menurutnya, permulaan paling rendah bagi kenderaan 'scrap' ialah RM300 iaitu sebuah Perodua Kancil manakala harga paling tinggi bagi kategori sama ialah RM12,000 (Honda Odyssey).

"Daripada jumlah itu, 81 kenderaan boleh dilesenkan manakala baki enam kenderaan lagi dikategorikan sebagai 'scrap' dan tidak boleh dilesenkan.

"Kenderaan yang boleh dilesenkan pula, harga rizab (permulaan) paling rendah ialah RM4,500 bagi kereta Proton Saga dan harga paling tinggi bermula RM19,500 Honda Accord," katanya.

Sebahagian kenderaan akan dilelongkan JPJ Melaka termasuk Proton Saga dan Honda Accord.
Sebahagian kenderaan akan dilelongkan JPJ Melaka termasuk Proton Saga dan Honda Accord.

Muhammad Firdaus berkata demikian pada sidang media Pelelongan Awam JPJ Melaka, di Bukit Katil, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 79 daripada kesemua kenderaan yang dilelong merupakan kenderaan klon, bagaimanapun 77 daripadanya telah didaftarkan di negara ini dan boleh dilesenkan.

Bagi kenderaan 'scrap' katanya, ia masih boleh dilelong terutamanya kepada pemilik kedai alat ganti kenderaan dengan syarat kenderaan itu perlu dileraikan terlebih dahulu di JPJ Melaka sebelum dibawa keluar.

"Dua daripada kenderaan klon ini dikategorikan 'scrap' kerana tidak menepati piawaian yang ditetapkan pihak JPJ," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Firdaus berkata, JPJ Melaka berjaya merampas sebanyak 16 buah kenderaan klon di negeri ini sepanjang tahun lalu.

"Sehingga Jun tahun ini, JPJ kita telah merampas sebanyak sembilan buah kenderaan klon yang didapati tidak sah untuk digunakan di negara ini," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia