MTDC anjur program latihan antarabangsa untuk pembuat dasar

A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) hari ini menganjurkan program latihan antarabangsa bagi pembuat dasar untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kepakaran pembangunan dengan negara membangun yang lain.

Pengarah Pejabat CEO, Dr Zainul Fadziruddin Zainuddin berkata, Bengkel Program Perbadanan Teknikal Malaysia (MTCP)-Pembangunan Pengkomersialan Ekosistem dan Keusahawanan MTDC selama lima hari itu merupakan usaha MTDC untuk membantu negara membangun yang menyertainya dengan program pembangunan masing-masing.

“Malaysia, menerusi MTCP, kekal komited kepada Kerjasama Selatan-Selatan yang merupakan elemen penting kerjasama antarabangsa bagi pembangunan yang menawarkan peluang berdaya maju untuk negara membangun dalam usaha mereka secara individu dan bersama untuk meningkatkan tahap pembangunan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bengkel itu, dijadual dari 22 hingga 26 Julai, menarik penyertaan 16 pembuat dasar daripada Uzbekistan, Thailand, Tajikistan, Turkmenistan, Uganda, Jordan, Kyrgyzstan, Bosnia dan Herzegovina, Mauritius, Albania, Kepulauan Samoa, Nigeria, Bhutan, Filipina, Mesir dan Vietnam.

Topik yang akan dibincangkan pada bengkel itu termasuk dasar dan rangka kerja berkaitan proses pengkomersialan, pengesahan pasaran, pengkomersialan harta intelek (IP), pembiayaan, model perniagaan, kerjasama dan inkubasi universiti.

MTDC ialah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd dan telah menjadi penggiat utama dalam pengkomersialan dan pengurusan pembiayaan kerajaan sejak Rancangan Malaysia Ketujuh (1996-2000). - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia