Tiada kompromi jika ada unsur sabotaj: SPAN

Mohd Fazil (kiri) melihat sambungan paip air yang dilakukan secara haram.
Mohd Fazil (kiri) melihat sambungan paip air yang dilakukan secara haram.
A
A
A

SEREMBAN - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan undang-undang jika mendapati kejadian pencemaran air yang berlaku di Sungai Selangor berunsur sabotaj.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd Fazil Ismail berkata, pihaknya kecewa dengan kejadian yang berlaku dan sangat komited untuk memastikan agar kejadian sama tidak berulang.

Katanya, disebabkan kejadian tersebut, penduduk Selangor terpaksa mengalami masalah gangguan air, walau bagaimanapun bekalan air di Selangor berada dalam keadaan terkawal.

“Terdapat 13 lori tangki dari seluruh negeri membantu membekalkan air bersih di Selangor, berikutan pencemaran bau yang berlaku di Sungai Selangor.

“Kita menjangkakan lori tangki itu akan memberi bekalan sehingga 24 Julai ini, selepas loji air di Selangor pulih sepenuhnya, itu bergantung kepada situasi semasa.

“Jika ujian air yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) esok lulus, maka loji air di Selangor boleh disalurkan kepada pengguna, kita perlu ikut piawaian standard yang ditetapkan sebelum disalurkan kepada orang ramai,” katanya.

Tambahnya, sampel ujian air akan dilakukan oleh KKM setiap masa, bagi memastikan kualiti air tersebut benar-benar bersih sebelum disalurkan kepada pengguna.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan serbuan di premis tersebut di Kampung Jimah, Bandar Baru Sri Sendayan semalam.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail.

Sementara itu, dalam serbuan yang diadakan, sebuah premis membancuh simen dikenakan notis oleh SPAN selepas menerima aduan daripada Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) berikutan kes mencuri air.

Dalam serbuan yang dilakukan SPAN bersama SAINS di Kampung Jimah, Bandar Baru Sri Sendayan semalam, mendapati premis tersebut telah melakukan sambungan air secara haram daripada meter utama milik SAINS.

“Ketika serbuan dilaksanakan, pihak penguatkuasa mendapati bahawa pemilik premis ini telah melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip poly jenis HDPE bersaiz 25mm.

“Pegawai penguatkuasa SAINS turut menjalankan ujian klorin di lokasi dan terbukti bekalan air yang digunakan itu adalah air terawat milik SAINS, serta digunakan secara haram,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (akta 655) yang memperuntukkan denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

SAINS akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan tanpa mengira kes yang melibatkan pengguna komersil mahupun domestik.