'Akhirnya saya boleh tidur tutup mata'

Mohd Nidzam (tengah) meraikan kejayaan Felda United kekal di Liga Super. Foto - MFL
A
A

PENGENDALI Felda United, Mohd Nidzam Jamil mengakui sukar untuk mempercayai kejayaan pasukannya untuk kekal di Liga Super pada aksi terakhir musim ini.

Kelmarin, The Fighters membelasah finalis Piala FA, Kedah 5-1 itu memastikan mereka berjaya meraih slot terakhir liga teratas di Malaysia bagi musim 2020.

Mohd Nidzam berkata, kredit perlu diberikan kepada pemain-pemainnya yang bekerja keras untuk perlawanan terakhir ini dan membuktikan kepada semua bahawa mereka mempunyai karakter seorang pejuang.

"Gila, memang gila! Pemain yang bekerja keras untuk kejayaan ini. Ia bukan mudah. Tahun ini, jelas tahun yang sukar buar Felda United kerana kami perlukan pusingan terakhir untuk kekal.

"Pujian paling besar perlu diberikan kepada pemain. Mereka yang telah bekerja keras siang dan malam. Bagi staf kejurulatihan, kami hanya bantu mereka cara untuk berlatih, cara untuk menang, tapi yang paling bekerja keras ialah pemain itu sendiri.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat terutama pihak pengurusan Felda United dan penyokong yang selama ini berdiri teguh di belakang pasukan meskipun terpalit dengan pelbagai khabar angin pada awal musim lalu.

"Ini adalah tahun pertama saya di Liga Super dan secara jujur memang saya antara yang paling gembira., Saya boleh cakap yang sekarang saya dah boleh tidur dengan mata tertutup.

"Dua, tiga bulan sebelum ini saya, mata saya tak boleh nak tutup, jadi lepas ini mungkin boleh lena sedikit," katanya secara berseloroh.

Mengulas mengenai saingan Piala Malaysia, Mohd Nidzam enggan meletakkan sebarang sasaran awal dan memilih untuk menunggu keputusan undian yang akan menentukan kumpulan terlebih dahulu.

"Kalau tanya sekarang, macam-macam sasaran saya nak jawab, sebab tengah gembira. Tetapi, kita nak cabut undi dahulu dan tengok kumpulan macam mana yang kita dapat.

"Apapun, kita akan cuba untuk fokus kepada Piala Malaysia juga kerana mahu tahu kita boleh buat kejutan seperti di Piala FA (mara ke separuh akhir)," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia