Transformasi ekonomi digital Sarawak diteruskan

Abang Johari Tun Openg
Abang Johari Tun Openg
A
A
A

BINTULU - Kerajaan negeri Sarawak akan meneruskan agenda mentransformasikan ekonomi negeri kepada ekonomi digital, seiring dengan trend global semasa.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, setakat ini pelbagai inisiatif dirancang dan dilaksanakan untuk memastikan Sarawak mampu beralih ke ekonomi digital meliputi bidang pertanian, perniagaan, perindustrian, pelancongan dan perkhidmatan kerajaan.

“Baru kelmarin saya melancarkan Sarawak Pay di Sebauh, supaya rakyat di luar bandar juga boleh diperkenalkan kepada kaedah pembayaran dan pemindahan wang secara digital di mana sahaja,” katanya semasa merasmikan sambutan Hari Sarawak di sini hari ini.

Johari berkata, setakat ini ‘Sarawak Pay’ mempunyai 100,000 pengguna dan seramai 6,000 peniaga berdaftar.

Mengenai pembangunan infrastruktur Johari berkata, kerajaan Sarawak memberi jaminan akan terus memberi tumpuan projek infrastruktur di negeri dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Sarawak yakin dapat merangsang pertumbuhan ekonomi antara lima dan enam peratus untuk membolehkan Sarawak menjadi negeri maju pada 2030,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan asing serta tempatan untuk Sarawak adalah antara terbaik dalam negara ini dengan Bintulu sahaja menerima pelaburan berjumlah RM13.76 billion, yang menyediakan peluang pekerjaan kepada 11,000 orang.

“Pada Sept ini pembinaan loji methanol pertama milik Sarawak, akan dilancarkan di Tanjung Kidurong, Bintulu, dan projek ini akan terus memacu ekonomi tempatan di Bintulu dan memberi peluang pekerjaan kepada lebih ramai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, menteri-menteri kabinet negeri, ketua jabatan serta ketua-ketua kaum.

Sambutan Hari Sarawak yang diadakan di Bintulu pada hari ini ialah yang pertama seumpamanya dianjurkan di luar Bandaraya Kuching sejak diisytiharkan cuti umum pada 2016, sempena memperingati tarikh 22 Julai 1963 British menyerahkan kuasa pentadbiran kepada Sarawak. - Bernama