Video intim: Henti berlakon, rakyat tak bodoh, kata Annuar

Annuar Musa
A
A

SHAH ALAM - Biar rakyat mengenalpasti sendiri identiti pelaku dalam video intim didakwa melibatkan seorang menteri kanan kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Jelasnya, pengesahan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bahawa video itu tulen sudah mencukupi.

"Video ini tulen tetapi mereka (polis) tidak dapat mengesahkan identiti pelakunya. Jika dia ini pencuri, mereka akan dapat mengenalpasti pelaku dengan cepat.

"Berhentilah berlakon, rakyat tidak bodoh, tetapi pengesahan ketulenan video ini sudah mencukupi dan untuk mengenalpasti orang ini biar rakyat yang kenal pasti.

"Kami bimbang jika video ini tidak tulen dan teknologi terkini yang digunakan untuk menghasilkannya," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Kota Raja di sini semalam.

Pada 18 Julai lalu, Abdul Hamid mengesahkan analisis Cybersecurity Malaysia mendapati video seks berkenaan adalah tulen, namun proses pengecaman wajah tidak dapat mengesahkan pelaku dalam video tersebut.

Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan bersumpah bahawa dia merupakan individu dalam video itu bersama seorang menteri kanan pada 11 Mei semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Perbuatan itu dirakamkan menerusi video kamera litar tertutup (CCTV) yang dipercayai dirakam di Hotel Four Point.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia