SPRM perlu undang-undang kawal selia benifisiari

Latheefa Koya
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) perlu memiliki peruntukan spesifik undang-undang kawal selia pemunya benifisiari, bagi menangani masalah rasuah khususnya membabitkan pelantikan proksi dalam sesebuah syarikat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, ramai penjenayah rasuah di negara ini berjaya mengelak diri ditangkap sejak beberapa tahun lalu, kerana berselindung disebalik proksi.

Ini katanya, peruntukan undang-undang sedia ada belum cukup kuat untuk membanteras gejala berselindung di bawah proksi ini.

"Memandangkan perkara (peruntukan baharu undang-undang mengenai tanggungjawab mendedahkan pemunya benefisiari (beneficial ownership) ke dalam Akta SPRM 2009 (Akta 694) sudah dibawa kerajaan dan perdana menteri pun pernah mengumumkannya kami harap ia di bawah ke Parlimen secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Bengkel Serantau Mempromosi Ketelusan Pemunya Benifisiari di Asia Tenggara di sini hari ini.

Awal tahun ini, kerajaan memutuskan untuk memasukkan peruntukan baharu undang-undang mengenai tanggungjawab mendedahkan pemunya benefisiari (beneficial ownership) ke dalam Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata langkah itu bagi membolehkan SPRM mengenal pasti pemilik sebenar kepentingan dalam sesuatu proses siasatan yang dijalankan.

Jelas Mahathir, ada orang menggunakan nama orang lain tetapi dimiliki oleh orang lain. Maka dengan adanya undang-undang pemunya benefisiari ini meskipun mereka menggunakan nama lain, SPRM tetap akan jumpa dan boleh dikenakan tindakan.

Sebelum itu ketika berucap merasmikan bengkel itu, Latheefa berkata, beberapa kes yang sedang dibicarakan di mahkamah ketika ini seperti SRC International dan dikaitkan dengan bekas timbalan perdana menteri adalah contoh jelas mengapa negara perlu undang-undang pemunya benifisiari yang kukuh.

"Bagi Malaysia, memiliki undang-undang pemunya benifisiari yang kuat bukan satu pilihan," katanya.

Sementara itu mengulas lanjut, katanya Malaysia turut mengambil contoh undang-undang dari luar negara untuk mengukuhkan pindaan itu.

"Ada negara yang mungkin ada, tetapi cara mereka nak ambil tindakan itu mungkin berbeza sebab itu kita bersama dalam bengkel ini untuk bandingkan yang mana sesuai dengan Malaysia," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia