Wong Kah Woh dilantik sebagai Pengerusi SEDA

Wong Kah Woh
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) hari ini mengumumkan pelantikan Wong Kah Woh sebagai pengerusi berkuat kuasa 1 Julai, bagi menggantikan Datuk Ir Ahmad Fauzi Hasan yang berkhidmat sebagai pemangku pengerusi sejak Julai tahun lepas.

Kah Woh juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sejak 2018 dan peguam berpengalaman selama 14 tahun.

“Pada masa ini beliau juga ialah ahli Parlimen Ipoh Timor yang membolehkan beliau menyuarakan pandangan dan syor ke arah pembentukan dasar menerusi kenyataannya,” menurut SEDA dalam kenyataan.

SEDA berkata beliau berperanan dalam banyak bidang termasuk korporat, perbankan dan kewangan, transaksi hartanah dan komersial daripada pembelian syarikat, pewujudan syarikat usaha sama, pinjaman, pembiayaan projek sehinggalah perancangan dan pentadbiran estet.

Selain itu, Wong amat berminat untuk berkhidmat kepada masyarakat memandangkan beliau juga merupakan peguam penasihat kepada persatuan komuniti, menyediakan nasihat dan khidmat undang-undang secara percuma kepada pelbagai persatuan berasaskan komuniti di Perak. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia