11 penyu mati dalam tempoh enam bulan

Seekor penyu jenis agar mati di Pantai Sungai Ular. (Gambar kecil: Azahari Othman)
A
A

KUANTAN- Sebanyak 11 kes kematian penyu jenis agar direkodkan Jabatan Perikanan Pahang (JPP) dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Azahari Othman berkata, punca utama kepada kematian reptilia ini disebabkan tersangkut pada pukat dan mengalami masalah usus yang berpunca daripada memakan plastik.

Menurutnya, kematian penyu yang direkodkan paling tinggi berlaku pada penyu Mac lalu iaitu enam ekor diikuti Januari dan Februari masing-masing dua ekor manakala satu pada bulan lalu (Jun).

“Sepanjang tahun lalu sebanyak lima kes kematian penyu jenis agar dicatat berbanding satu kes sahaja pada 2017 dan dalam tempoh enam bulan tahun ini, 11 kes sudah dicatat.

“Dalam tempuh 12 tahun (2007-2018) sebanyak 66 kes kematian membabitkan 64 penyu jenis agar dan dua jenis lipas, jumlah kematian tidak menentu setiap tahun," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Azahari berkata, jabatan memandang serius kes membabitkan kematian penyu yang disebabkan tersangkut pada pukat atau jaring nelayan.

Jelasnya, kematian penyu berlaku kerana kecuaian manusia yang bersikap mementingkan diri sendiri.

Azahari mengingatkan nelayan supaya menggunakan pukat yang saiz matanya dibenarkan sahaja bagi mengelak penyu tersangkut atau terperangkap reptilia terbabit.

“Kita juga menggalakkan nelayan tempatan supaya menggunakan sejenis alat penyisih penyu (Turtle Excluded Device) bagi bot pukat tunda yang aktif pada musim tengkujuh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, setiap tahun program kesedaran diadakan bagi memberi penerangan kepada nelayan supaya tidak sesuka hati membuang sampah terutama plastik ke laut.

Tambahnya, ini bagi mengelak penyu memakan bahan berkenaan yang disangka ampai-ampai sejenis hidupan laut.

“Kesedaran masyarakat dan nelayan amat penting bagi memastikan kematian penyu tidak terus berlaku setiap tahun," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia