Walinong Sari mahu lebarkan sayap

Rosnani (tengah, belakang) menunjukkan sebahagian produk pakaian sekolah, muslimah dan tudung dihasilkan premisnya di Pusat Bandar Bagan Serai dengan sokongan seorang rakan kongsi perniagaan. (Gambar kecil: Rosnani)
Rosnani (tengah, belakang) menunjukkan sebahagian produk pakaian sekolah, muslimah dan tudung dihasilkan premisnya di Pusat Bandar Bagan Serai dengan sokongan seorang rakan kongsi perniagaan. (Gambar kecil: Rosnani)
A
A
A

SEBUT sahaja perniagaan menjual pakaian sekolah dan beruniform, pastinya ramai tidak mengetahui industri itu sebenarnya kurang dikuasai usahawan melayu bumiputera di negara ini.

Sama juga industri pembuatan pakaian muslimah, bidang perniagaan berpotensi itu kini seakan dipelopori usahawan warga asing berasal dari Kemboja, Bangladesh dan Nepal, sedangkan permintaan tinggi adalah dalam kalangan umat Islam negara ini.

Namun bagi ibu tunggal, Rosnani Suradi,47, wanita berjiwa besar ini bertekad untuk menjadi pelopor bukan sahaja industri pembuatan pakaian sekolah dan beruniform, malahan keseluruhan jenis pakaian muslimah di negara ini.

Berpengalaman 26 tahun dalam industri tekstil dan pembuatan pakaian, Rosnani yang berasal dari Alor Pongsu, di sini, bersyukur kerana mendapat sokongan seorang tokoh perniagaan, Datuk Shuhaini Shafie untuk memulakan perniagaan pembuatan pakaian sekolah dan uniform muslimah di Pusat Bandar Bagan Serai, di sini sejak sebulan lalu.

Nekad niaga tanpa modal

Di sebalik kejayaannya mewujudkan premis menjahit dan menghasilkan pelbagai jenis pakaian di Pusat Bandar Bagan Serai, di sini sejak bulan lalu, Rosnani mengakui usaha itu bukan mudah apabila dia tidak mempunyai sebarang modal sewaktu membuka premis jahitan cawangan Walinong Sari.

Meskipun berpengalaman luas dalam bidang jahitan dan tekstil, ibu kepada empat anak itu mengakui berdepan kesukaran untuk mendapatkan pinjaman kewangan dan bantuan mesin jahit daripada pelbagai agensi kerajaan dan institusi kewangan sebelum ini.

"Mujur saya mendapat sokongan modal penuh daripada rakan kongsi perniagaan yang memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk mewujudkan satu premis menjahit dan menjual pakaian di sini sewaktu sedang bekerja dengannya.

"Lebih mengharukan, pemilik syarikat Walinong Sari itu turut melantik saya sebagai pemilik bersama premis jahitan yang kini diperkasakan oleh 18 kakitangan terdiri warga tempatan," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mampu siap 200 baju kurung sehari

Kepercayaan diberikan tidak disia-siakan apabila Rosnani bersama kakitangannya bekerja keras dalam memastikan pelbagai jenis pakaian seperti pakaian sekolah, uniform muslimah, kemeja muslimah, baju korporat muslimah dan uniform ko-kurikulum muslimah siap dihasilkan tepat pada waktunya.

Menurutnya, setiap pekerja diagih-agihkan tugasan seperti menjahit kemaja, baju kurung, tudung, kerja seterika pakaian, kerja memotong kain dan kawalan kualiti.

"Alhamdulillah, berbekalkan 18 mesin jahit dibekalkan rakan kongsi perniagaan, kami mampu menyiapkan sekurang-kurangnya 200 helai baju kurung, 500 helai tudung dan 1,000 kemeja dalam sehari.

"Lagipun, premis Walinong Sari cawangan Bagan Serai menyediakan suasana pekerjaan kondusif dan berdisiplin di mana setiap pekerja ditawarkan komisyen bagi setiap pakaian disiapkan dan tidak diberi gaji bulanan," katanya.

Guna material berkualiti, patuh syariah

Rosnani berkata, pihaknya turut menerapkan konsep penghasilan produk pakaian dan uniform muslimah bermula dari peringkat asas iaitu proses menenun kain sehingga peringkat akhir pakaian itu disiapkan secara lengkap.

Menurutnya, Walinong Sari cawangan Bagan Serai juga merupakan pengasas produk pakaian muslimah di Malaysia yang operasi penghasilannya dilaksanakan sepenuhnya oleh usahawan bumiputera sepertinya.

"Salah satu kelebihan produk pakaian dan uniform kami adalah Walinong Sari menggunakan material kain berkeberatan sekurang-kurangnya 180 gram setiap meter persegi (GSM) bagi menghasilkan produk tekstil muslimah berbanding produk sama dari syarikat pesaing.

"Kebiasaannya syarikat pesaing hanya menggunakan material kain berkeberatan 160 GSM dan kesannya adalah produk pakaian muslimah dibeli akan kelihatan jarang dan tidak mengikut ketetapan syariah agama.

"Paling penting, kesemua produk pakaian muslimah dan tekstil dihasilkan Walinong Sari termasuk cawangan Bagan Serai adalah terbukti suci mengikut syarak dan boleh digunakan umat Islam tanpa was-was," katanya.

Rosnani berkata, pihaknya juga menjamin penghasilan produk tudung labuh dengan kualiti terbaik, disiapkan tepat pada masanya terutama pada musim perayaan.

Sentiasa kaji trend pakaian

Menurutnya, selain pakaian sekolah dan uniform muslimah, pihaknya turut menghasilkan baju kurung fesyen, semua jenis tudung, kemeja lengan pendek dan panjang, semua jenis kemeja T ko-kurikulum sekolah jenis biasa dan muslimah.

"Kita akan melaksanakan kajian jenis pakaian dan tekstil mana yang akan menjadi trend atau permintaan tinggi pada setiap masa dan data kajian itu dimanfaatkan untuk menambahkan stok penghasilan pakaian tertentu mengikut permintaan pasaran.

"Syukur Alhamdulillah, berkat kesabaran dan sokongan padu rakan kongsi perniagaan, saya yakin Walinong Sari suatu hari nanti akan menjadi pelopor pakaian sekolah dan muslimah di negara ini suatu hari nanti.

"Selain itu, kami juga sedang berusaha untuk menjadi pelopor utama pengeluar pakaian beruniform sekolah di negara ini kerana sehingga kini masih tiada peniaga Melayu bumiputera yang mengambil peluang itu," katanya.

Inisiatif hasil pakaian muslimah dapat sokongan

Rosnani berkata, di sebalik cabaran dihadapi dalam memajukan premis penghasilan pakaian dan tekstil miliknya, beliau bersyukur masih mampu mencapainya susulan sokongan padu diberikan rakyat Bagan Serai untuk membeli produk pakaian muslim dan muslimah dari premis bumiputera.

Menurutnya, cabaran itu ditangani lebih cekal susulan pihaknya tidak bernasib baik menerima manfaat tender pembekalan set kelengkapan persekolahan menerusi duit zakat dan dana-dana parti politik sebagaimana dinikmati beberapa syarikat lain termasuk syarikat bukan bumiputera.

"Selain itu, kepercayaan jitu para pembekal kain sudi memberi pendahuluan stok bekalan kain dan mesin jahit tanpa dikenakan syarat ketat turut memastikan premis saya mampu bernafas dan yakin akan terus maju pada masa hadapan.

"Alhamdulillah, meskipun baharu membuka premis menjual pakaian tidak sampai sebulan, saya bersyukur kerana sambutan diberikan orang ramai untuk mencuba pakaian jenama kami sangat tinggi sehingga tidak menang tangan melayan kehendak mereka.

"Produk siap yang dihasilkan di premis saya juga akan dihantar ke premis cawangan Walinong Sari lain serta peruncit-peruncit yang membuat tempahan," katanya.

Selain itu, Rosnani memaklumkan Walinong Sari cawangan Bagan Serai turut membuat jualan secara atas talian melalui ciapan shopee.my/walinong-sari.

"Saya berdoa premis Walinong Sari cawangan Bagan Serai ini mampu mengubah nasib saya dan anak-anak yang sebelum ini hidup susah dan mampu mencapai sasaran menjadi pelopor utama pakaian sekolah dan muslimah utama di negara ini suatu hari nanti," katanya.