Ombak bawa masuk pasir ke dalam rumah

Rumah Nik Aziz yang hanya terletak tiga meter dari benteng hakisan.
A
A

KOTA BHARU – Siri hakisan yang berlaku di negeri Kelantan dilihat semakin kritikal terutamanya di sekitar Pantai Mek Mas sehingga ke Pantai Kundur di sini.

Sebahagian besar kawasan pesisir di pantai itu telah ditenggelami air laut sejauh kira-kira satu kilometer.

Akibatnya sebahagian penduduk dipindahkan ke penempatan baru berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Kundur yang disediakan oleh kerajaan.

Tinjauan wartawan Sinar Siasat mendapati enam rumah dibina di kawasan itu untuk mangsa yang rumahnya telah lenyap ditelan ombak beberapa tahun lalu.

Seorang mangsa yang terpaksa berpindah, Nafisah Salleh, 50, berkata, dia sekeluarga telah berpindah ke penempatan baharu itu sejak 2016 selepas kediamannya ranap dipukul ombak.

“Bencana ombak besar pada 2015 memusnahkan kawasan rumah kami yang melibatkan beberapa rumah lain.

“Selepas rumah rosak kami menyewa pula selama lima bulan sebelum dapat rumah ini.

"Alhamdulillah kami amat bersyukur kerana dapat ru-mah baharu di sini yang lebih selamat,” katanya yang tinggal di situ bersama enam ahli keluarga lain.

Sementara itu, Suhaiza Mat Zin, 32, bersama suami Zainudin Ismail, 42, serta dua anak mereka berusia enam tahun dan lima bulan masih setia menghuni rumah usang di tepi Pantai Kundur.

Keadaan rumah Suhaiza dari luar sudah ditimbusi pasir yang dibawa ombak.
Keadaan rumah Suhaiza dari luar sudah ditimbusi pasir yang dibawa ombak.

Katanya, biarpun ibunya sudah mendapat rumah lain di belakang SK Pulau Kundur namun dia sekeluarga terpaksa bertahan di situ kerana tidak mahu bersesak-sesak di rumah ibunya.

“Sebelum ini kami tinggal bersama ibu di sini namun selepas ibu dan lima adik-beradik lain pindah ke rumah baru, kami terpaksa bertahan di sini kerana tak mahu bersesak di rumah ibu.

“Rumah ini dahulu besar dan saya tinggal di bahagian bawah tetapi kini ia semakin sempit kerana bahagian bawah sudah dimasuki pasir akibat dihempas ombak musim tengkujuh.

"Nak minta rumah lain kami dikatakan tak layak kerana hanya sebuah rumah sahaja diberi untuk sebuah keluarga,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nik Aziz Mamat, 64, berkata, setiap kali musim tengkujuh dia sekeluarga diancam kebimbangan kerana ombak besar pernah membawa masuk air dan pasir ke dalam rumahnya dua tahun lalu.

Oleh itu, mereka berharap kerajaan akan mempercepatkan projek binaan benteng yang lebih kukuh di kawasan berkenaan untuk mengelakkan ancaman ombak besar setiap kali musim tengkujuh.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia