1,700 anggota bomba sertai operasi padam kebakaran hutan di Portugal

Seorang anggota bomba melihat keadaan kebakaran hutan di Amendoa, tengah Portugal. -Foto AFP
Seorang anggota bomba melihat keadaan kebakaran hutan di Amendoa, tengah Portugal. -Foto AFP
A
A
A

Lisbon - Pesawat dan helikopter menyertai hampir 2,000 anggota bomba dalam operasi memadamkan kebakaran hutan di Portugal semalam.

Kira-kira 1,700 anggota bomba dan 400 kenderaan dikerah bagi memadamkan kebakaran hutan di wilayah Castelo Branco, terletak 200 kilometer utara Lisbon.

Kementerian Dalam Negeri berkata, kira-kira 20 orang cedera ekoran kebakaran terbabit termasuk lapan anggota bomba dan 12 orang awam.

Operasi besar-besaran terbabit menyaksikan 800 anggota bomba beserta 245 kenderaan dan 13 pesawat dan helikopter bertungkus lumus memadamkan kebakaran di bandar Vila de Rei.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Eduardo Cabrita kebakaran tersebut masih lagi aktif.

Sementara itu, polis memaklumkan seorang lelaki berusia 55 tahun ditahan di Castelo Branco kerana disyaki memulakan kebakaran di pinggir bandar terbabit, namun jaraknya agak jauh dari lokasi kebakaran hutan utama.

"Punca kebakaran sedang disiasat, terdapat sesuatu yang pelik. Bagaimana lima kebakaran besar berlaku di kawasan yang berhampiran antara satu sama lain," kata Cabrita.

Ketua Perlindungan Sivil, wilayah Castelo Branco, Luis Belo Costa pula berkata, kebakaran di Vila de Rei gagal dibendung sepenuhnya berikutan lokasi kejadian yang sukar dimasuki.

Artikel Berkaitan:

Costa menambah, setakat ini hanya 60 peratus kebakaran berjaya dikawal.

Pihak tentera dilaporkan mengerahkan 20 anggotanya dan jentera untuk membuka laluan bagi memberikan akses kepada anggota bomba memadamkan kebakaran. - AFP