Jarak rumah, pantai terlalu hampir

Rumah-rumah yang musnah dibadai ombak dan ekoran hakisan pantai.
A
A

KEMAMAN - Ibarat alah bisa tegal biasa, dugaan dibadai ribut pasir dan air laut memasuki rumah sudah menjadi situasi yang biasa dilalui penduduk Kampung Geliga Pantai di sini setiap kali musim tengkujuh sejak 10 tahun lalu.

Ekoran situasi itu dianggarkan lebih 10 buah rumah di kawasan itu telah ranap dan lenyap ditelan ombak akibat hakisan dalam tempoh terbabit.

Ibu tunggal, Normah Mahmood, 59, berkata, ketika ini hanya terdapat kira-kira enam rumah berdekatan pantai yang masih dihuni termasuk rumahnya.

Katanya, jarak dinding dapur rumahnya dengan pantai sekarang hanya sekitar 50 meter berbanding lebih 100 meter semasa mula tinggal di kawasan itu sejak 26 tahun lalu seterusnya menjadi antara penduduk terawal di penempatan pesisir pantai berkenaan.

"Hakisan ini berlaku sedikit demi sedikit setiap tahun dan yang paling teruk semasa Kemaman dilanda banjir besar pada 2014, masa itu ombak yang badai rumah sangat besar dan ramai terjejas.

"Namun setakat ini rumah saya masih selamat sebab cuma tertimbus pasir dan dimasuki air setiap kali musim tengkujuh tapi struktur rumah tak ada rosak apa-apa lagi," katanya yang memiliki lima orang anak berusia antara 26 hingga 38 tahun.

Normah menunjukkan keadaan rumah jiran belakang rumahnya yang ranap dipukul ombak dan memaksa jirannya itu berpindah Disember lalu.
Normah menunjukkan keadaan rumah jiran belakang rumahnya yang ranap dipukul ombak dan memaksa jirannya itu berpindah Disember lalu.

Menurut Normah, kesemua mangsa yang terjejas berikutan rumah ranap dimakan ombak sebelum ini telah diberi penempatan baharu oleh kerajaan termasuk ada yang menerima rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Selain itu, jelasnya, ada juga mangsa yang meninggalkan rumah yang masih belum rosak dan menyewa di tempat lain berikutan jarak pantai dengan rumah sudah terlalu dekat.

Mangsa terbaharu yang berpindah ialah jiran di belakang rumahnya yang keluar dari kampung itu pada Disember lalu ekoran rumah yang didiami sudah rosak teruk.

Bagaimanapun, Normah berkata, dia setakat ini tiada perancangan untuk berpindah dan menaruh harapan untuk terus tinggal di kawasan itu selagi ia selamat.

Katanya, adalah menjadi harapan penduduk agar kerajaan melaksanakan projek tambak batu di kawasan pantai yang terhakis di kampung tersebut seperti yang dijalankan di Kuala Kemaman bagi mengatasi masalah berkenaan.